Malaysia Oversight

Pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya kini di fasa akhir

By Utusan in August 18, 2025 – Reading time 2 minute
Pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya kini di fasa akhir


KUALA LUMPUR: Proses pemisahan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya kini berada di peringkat akhir dan dijangka diteliti oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, hasil kajian dan cadangan model pelaksanaan pemisahan kuasa antara kedua-dua badan itu akan dibentangkan ke Kabinet dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam isu pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, di mana usaha ini dalam proses pada fasa akhir.

“Kajian perbandingan dengan beberapa negara telah dilakukan dan hasil kajian berserta cadangan model pemisahan akan dibawa ke pertimbangan Jemaah Menteri tidak lama lagi,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata, berdasarkan jawapan Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) Khamis lalu, hasil kajian dan cadangan pelaksanaan pemisahan kuasa itu akan dibawa pada hujung bulan ini.

“Harapannya keputusan dasar oleh pihak menteri Kabinet dalam pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya.

Azalina berkata, dalam usaha reformasi institusi di bawah pentadbiran Madani, Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 serta iltizam untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah reformasi terbesar.

Menurutnya, ia disebabkan perkara itu membabitkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan persetujuan undi dua pertiga majoriti.

“Jadi saya ingin ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat pada pihak dan pembangkang dalam isu Akta Perkhidmatan Parlimen, kita mendapat undi majoriti dua pertiga, juga dalam pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Saya yakin setelah penerangan, keputusan dasar dibuat oleh mesyuarat Kabinet, saya cukup yakin setelah diberikan penerangan, YB dan pembangkang akan bersama memberi sokongan kepada kerajaan untuk membawa pindaan kepada perlembagaan ini,” katanya. – UTUSAN





Source link