Malaysia Oversight

Pemipin Umno, Pemuda Bersatu Sabah kecam retorik antirasuah Hajiji

By MkiniBM in April 28, 2025 – Reading time 2 minute
Pemipin Umno, Pemuda Bersatu Sabah kecam retorik antirasuah Hajiji


Pemimpin Sabah dan Pemuda Bersatu negeri itu hari ini mempertikai Ketua Menteri Hajiji Noor berhubung dakwaan dia tidak bertindak menentang rasuah di negeri itu.

Dalam kenyataan berasingan, mereka berkata Hajiji harus membuktikan komitmennya dalam memerangi rasuah melalui tindakan tegas dan bukannya mengulangi retorik semasa ceramah dan sidang akhbar.

Merujuk kepada artikel yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia – yang memuji pendirian Hajiji menentang rasuah – Ketua Pemuda Bersatu Sabah Mohammad Hisyam Hazaril mempersoalkan sama ada ia telah diterjemahkan kepada realiti.

“Sungguh membanggakan apabila integriti terpampang di setiap keratan akhbar. Namun, jika integriti itu hanya menjadi bahan pidato tanpa bertindak, apakah nilainya?

“Hanya sekadar alat politik yang dipakai bila perlu? Hajiji seharusnya menyokong seruan rakyat dengan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mencalarkan imej negeri Sabah.

“Seperti kata pepatah, ‘indah khabar dari rupa’, begitulah riuh rendah slogan antirasuah yang bergema, tetapi sepi dalam tindakan,” kata Hisyam dalam kenyataannya.

Artikel berita yang dirujuk Hisyam diterbitkan pada Sabtu, bertajuk ‘Hajiji tegas banteras rasuah, fokus pembangunan rakyat’.

Ia memetik ketua menteri Sabah berkata pentadbirannya menekankan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan, manakala beberapa individu lain, termasuk seorang ahli akademik, memuji Hajiji.

Mengulas lanjut, Hisyam mengingatkan ketua menteri itu bahawa “tindakan bercakap lebih kuat daripada perkataan”.

Dia berkata rakyat Sabah mahu melihat Hajiji dan pentadbirannya mengambil tindakan berani dengan menyiasat dan menghukum mereka yang telah mengkhianati amanah.

“Jika integriti benar-benar mahu dijulang, gugurkanlah mereka yang telah memalit arang kepada nama baik negeri, tanpa berlengah.

“Janganlah hanya petah bersyarah di pentas, tetapi kaku bila tindakan diperlukan,” katanya.

Berkongsi sentimen yang sama, Pengarah Komunikasi Strategik Sabah Datu Rosman Datu Ahir Zaman turut menggesa ketua menteri itu untuk melaksanakan kata-katanya.

“Setakat ini kita tidak melihat sebarang inisiatif besar-besaran atau tindakan tegas yang boleh membuktikan pentadbiran Hajiji serius dalam memerangi masalah rasuah dalam negeri.

“Ketiadaan laporan yang telus, tindakan tatatertib atau siasatan berprofil tinggi telah menimbulkan keraguan sama ada usaha membanteras rasuah benar-benar penting di Sabah atau sekadar retorik,” katanya.

Rosman berkata rakyat Sabah berhak menuntut ketelusan penuh dalam semua siasatan membabitkan isu integriti, tanpa sebarang cubaan untuk menyembunyikannya.



Source link