Pemimpin politik Sabah dari kedua-dua pihak mendesak kerajaan Persekutuan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus hasil negeri.
Selain itu mereka juga mengingatkan usaha untuk membuat rayuan berhubung keputusan itu akan bertentangan semangat Perlembagaan dan menangguhkan keadilan untuk rakyat Sabah.
Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, berkata walaupun Putrajaya mempunyai hak undang-undang untuk membuat rayuan, ia perlu mengambil kira apa yang “telah jelas dinyatakan dalam perlembagaan.”
“Sudah tentu, mengikut perlembagaan mereka dibenarkan untuk merayu. Tetapi kami berharap mereka tidak akan berbuat demikian.
“Keputusan mahkamah adalah jelas, ia mencerminkan apa yang telah dipersetujui dalam semangat pembentukan Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak tidak sah dan melebihi kuasanya di bawah Perlembagaan Persekutuan kerana gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan selama hampir lima dekad.
Hakim Celestina Stuel Galid menyatakan bahawa perintah semakan pemberian khas yang dikeluarkan bersama oleh kerajaan Persekutuan dan negeri adalah “tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,” yang melanggar Perlembagaan.
Hakim itu juga mendapati bahawa Perintah Semakan Kedua dan Ketiga adalah tidak sah dan membenarkan permohonan penuh Persatuan Peguam Sabah (SLS).
Sementara itu Presiden sementara PBS, Joachim Gunsalam; Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau dan Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe menyambut baik keputusan mahkamah.
Mereka menegaskan bahawa hak 40 peratus berkenaan merupakan hak dan bukan konsesi politik.
Para pemimpin berkenaan menegaskan perkara ini adalah tanggungjawab perlembagaan yang perlu dipenuhi kepada Sabah di bawah Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mereka juga mengingatkan kedua-dua kerajaan supaya mematuhi perintah mahkamah yang menetapkan semakan bersama dalam tempoh 90 hari dan penyelesaian dalam tempoh 180 hari bagi menentukan jumlah yang perlu dibayar kepada Sabah bagi “tahun yang hilang” sejak 1974.

“Hak 40 peratus bukan keistimewaan – ia adalah hak yang dijamin untuk Sabah sejak 1963,” kata Gunsalam.
Phoong menambah: “Mahkamah telah mengingatkan kita bahawa ini adalah tanggungjawab yang mengikat, bukan janji yang boleh dirunding.”
Keputusan bersejarah
Para pemimpin berkenaan juga menegaskan bahawa keputusan itu mengembalikan keadilan selepas hampir lima dekad kerajaan Persekutuan lambat bertindak.
Mereka berkata keputusan itu menegaskan bahawa hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri sepatutnya dipandu oleh mekanisme perlembagaan, bukan politik.
Tangau, yang sekian lama memperjuangkan hak hasil Sabah, berkata keputusan itu sepatutnya menandakan “bab baru dalam pelaksanaan MA63”, dan menyeru Putrajaya untuk bertindak dengan ikhlas.

“Mahkamah telah buat keputusan. Kini masanya kerajaan Persekutuan menunaikan tanggungjawabnya, bukan melanjutkan isu ini melalui rayuan,” katanya.
Mereka turut mengingatkan kedua-dua kerajaan supaya mematuhi perintah mahkamah yang menghendaki semakan bersama dalam tempoh 90 hari dan penyelesaian dalam tempoh 180 hari bagi menentukan jumlah yang perlu dibayar kepada Sabah bagi “tahun yang hilang” sejak 1974.
Setiausaha agung UPKO, Senator Nelson Angang, berkata fokus kini seharusnya beralih kepada pelaksanaan keputusan.
“Ini bukan soal politik, tetapi tentang maruah, keadilan, dan kedudukan sah Sabah dalam Malaysia,” katanya.
Sementara itu, PKR Sabah yang menyambut baik keputusan itu, berkata pemulangan hasil tersebut akan mengukuhkan keupayaan negeri untuk melabur semula dalam pelbagai projek infrastruktur, serta meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi.
Menurutnya langkah itu selaras dengan aspirasi kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.






