Malaysia Oversight

Pemimpin Pemuda PAS disiasat isu hantaran palsu, perkauman

By MkiniBM in September 3, 2025 – Reading time 1 minute
Pemimpin Pemuda PAS disiasat isu hantaran palsu, perkauman


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan dan mengambil keterangan Manjoi, Mohd Hafez Sabri, berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial.

Menurut kenyataan MCMC hari ini, siasatan itu susulan hantaran yang dibuat ahli politik terbabit mengenai insiden seorang wanita menaiki pentas semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Perak di Ipoh, baru-baru ini.

“Sesi rakaman keterangan dan siasatan lanjut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan maklumat dalam hantaran berkenaan adalah tidak benar dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Penyebaran kandungan palsu berunsur perkauman merupakan perbuatan serius yang boleh mengancam keharmonian dan ketenteraman awam.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial,” katanya.

Bernama



Source link