Seorang pemimpin PAS menggesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, meletakkan jawatan susulan kegagalan mengendalikan kes kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, menegaskan desakan itu bukan kerana isu politik tetapi tuntutan terhadap tanggungjawab kedua-dua menteri berkenaan.
“Ini bukan tulisan politik, tetapi tuntutan kepada Menteri untuk bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dalam kes Zara Qairina.
“Dalam isu ini aku berpandangan dua orang Menteri yang perlu bertanggungjawab dan meletakkan jawatan adalah Menteri Pendidikan dan Menteri Dalam Negeri.
“Ataupun PMX perlu ambil tanggungjawab dan rehatkan mereka dan ganti dengan ahli parlimen atau Senator lain dari Pakatan Harapan – BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurul Islam turut menyenaraikan kegagalan Kementerian Pendidikan, antaranya gagal mengemas kini kes Zara, lemah dalam komunikasi dan pengurusan krisis, gagal menjelaskan fakta sebenar, kelewatan menukar pengetua dan warden, menghalang guru bercakap mengenai isu tersebut, serta tidak turun bertemu aktivis pelajar yang menyerahkan memorandum di Parlimen.
Turut disenaraikan kelemahan Kementerian Dalam Negeri, termasuk siasatan awal polis yang didakwa tidak mengikut prosedur, kegagalan menjalankan bedah siasat sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga, tidak mengumpulkan barang kes, pengumuman siasatan selesai walaupun tiada bedah siasat, serta tiada tangkapan dibuat sehingga kini.
“Atas sebab-sebab di atas, Menteri Pendidikan dan Menteri Dalam Negeri yang dilihat gagal untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna, perlu melepaskan jawatan dengan kadar segera.
“Sekiranya mereka enggan meletakkan jawatan, PMX perlu campurtangan dan tukar mereka dengan ahli parlimen lain dalam Pakatan Harapan – BN,” katanya lagi.
Dia turut mencadangkan agar pemimpin wanita Umno, Noraini Ahmad mengambil alih jawatan menteri pendidikan, manakala Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.
“Barulah kemarahan rakyat kepada Kerajaan Madani akan reda sedikit. Heads need to roll Mr PMX,” katanya.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital, setelah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada jam 4 pagi 16 Julai.
Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kubur allahyarham digali semula pada 8 Ogos dan bedah siasat dilakukan pada 9 Ogos.
Laporan awal forensik mendedahkan Zara meninggal dunia akibat kecederaan otak teruk yang konsisten dengan kesan jatuh dari aras tinggi, manakala polis turut menyiasat sekiranya wujud unsur buli seperti yang disyaki berlaku sebelum kejadian.
Setakat ini, polis telah mengambil 82 keterangan saksi termasuk pelajar, manakala AGC mengumumkan inkuiri penuh akan dijalankan di mahkamah koroner bagi menentukan punca kematian.