Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari tidak berhasrat memohon maaf seperti didesak berhubung tindakannya memuat naik karikatur seolah-olah menyindir rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang diusahakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Portal FMT memetik ahli Parlimen Pasir Mas itu sebagai berkata bahawa dia menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis, susulan laporan yang telah dibuat terhadap hantaran Facebooknya yang kini telah dipadam.
Hantarannya, sebelum ini memaparkan karikatur yang menyamakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai sebagai haiwan.
“Saya serahkan kepada polis sebab sudah ada laporan. Saya tidak berhasrat minta maaf,” katanya.
Fadhli menerima kecaman selepas memuat naik satu kartun yang menggambarkan seekor kambing dan biri-biri sedang berebut pisang, dengan seekor monyet bertindak sebagai hakim.
Kapsyen yang mengiringi gambar itu berbunyi: “Kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang,” sambil disertakan tangkap layar laporan berita mengenai konflik Thailand–Kemboja bersebelahannya.
Terdahulu hari ini, Ketua Pemuda PKR (AMK), Kamil Abdul Munim menggesa Fadhli agar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja susulan kenyataan dan hantaran memperlekeh usaha gencatan senjata yang diusahakan itu.
Kamil berkata tatkala dunia mengiktiraf peranan Malaysia khususnya Anwar sebagai arkitek keamanan serantau, tindakan Fadhli disifatkan sebagai tidak patriotik dan memalukan negara.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan, yang melancarkan kritikan terhadap Fadhli di Dewan Rakyat pagi tadi, turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Semalam, Anwar selaku pengerusi Asean berjaya menjadi orang tengah kepada pelaksanaan gencatan senjata tanpa syarat antara kedua-dua negara itu, yang berkuat kuasa mulai tengah malam, hasil rundingan damai yang dianjurkan di Putrajaya.