Kunjungan oleh pucuk pimpinan MIC yang diketuai presidennya, SA Vigneswaran ke atas bekas perdana menteri Najib Razak di kompleks mahkamah, Kuala Lumpur semalam mencetuskan spekulasi bahawa parti itu sudah bersedia untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN).
Menurut sumber yang berpengetahuan mengenai kunjungan itu, pucuk pimpinan MIC sempat bertemu dengan Najib untuk memaklumkan kepadanya mengenai hala tuju parti tersebut.

“Pertemuan itu diadakan di mahkamah semalam. MIC nak beritahu pendirian dan hala tuju parti itu.
“Nak kata secara mudah, MIC jumpa Najib untuk ucapkan ‘sayonara’ (selamat tinggal) kepada BN,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, sumber itu tidak mendedahkan apakah maklum balas Najib kepada MIC.
Malaysiakini difahamkan, selain Vigneswaran, Timbalan Presiden MIC M Saravanan, Naib Presiden M Asojan dan Setiausaha Agung S Ananthan turut hadir pada pertemuan itu yang dikatakan diadakan hampir sejam.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Vigneswaran dan Saravanan untuk mendapatkan ulasan mereka.

Untuk rekod, MIC kini dilihat sebagai komponen BN yang paling lantang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap Umno dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Baru-baru ini, empat badan perhubungan negeri MIC meluluskan resolusi supaya parti berkenaan meninggalkan BN.
Di tengah-tengah rasa tidak puas hati itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, pada Ahad lalu mempelawa MIC dan MCA bergabung, dengan mengambil maklum kekecewaan mereka kerana tidak mempunyai wakil dalam kerajaan.
Sebelum ini, Vigneswaran pada perhimpunan parti itu di Perak menyatakan bahawa MIC bersedia berunding dengan mana-mana pihak demi masa depan parti dan kesejahteraan masyarakat India.
Kenyataan itu dibuat selepas Saravanan, mendakwa parti berkenaan diketepikan oleh kerajaan perpaduan.
Saravanan juga berkata bahawa MIC akan membuat keputusan penting mengenai masa depan mereka pada mesyuarat agung tahunan pada Oktober ini.
Mengulas lanjut perjumpaan dengan Najib, satu sumber lain MIC memaklumkan bahawa kunjungan itu diadakan atas rasa hormat kepada Najib.

“Adalah satu fakta, Najib merupakan perdana menteri terbaik buat masyarakat India.
“Jadi, MIC masih menghormati sumbangan beliau kepada masyarakat India dan berasa adalah penting untuk memberitahu beliau mengenai pendirian dan hala tuju parti itu.
“Dia seorang ahli politik yang memahami situasi politik semasa dan keperluan MIC membuat keputusan penting,” katanya lagi.