Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Nizam Abu Bakar Titingan menolak surat tuntutan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei yang dikeluarkan minggu lepas, dengan menegaskan peguamnya bersedia untuk membelanya dalam tindakan mahkamah yang difailkan Tei.
Dalam kenyataan malam tadi, Nizam yang juga pembantu menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah menegaskan bahawa kenyataannya terhadap Tei adalah berkaitan kepentingan awam, dan asas fakta bagi kenyataannya itu juga merupakan rekod awam.
“Nizam berpegang pada tanggungjawabnya untuk bersuara mengenai hal-hal penting yang menyentuh kepentingan rakyat Sabah dan akan membuktikan sepenuhnya kenyataan yang dibuatnya di forum yang sewajarnya.
“Prinsip asas dalam tindakan fitnah ialah seseorang mesti mempunyai reputasi yang wajar dilindungi. Memandangkan tuduhan serius serta pengakuan undang-undang terhadapnya sudah pun direkodkan secara umum, dakwaan kononnya reputasinya tercemar adalah tidak berasas,” menurut kenyataan itu yang ditulis dalam sudut pandang ketiga.
Pada 27 Oktober lalu, Tei mengeluarkan notis cease and desist kepada Nizam dan menuntutnya agar memohon maaf secara rasmi dan menarik balik kenyataan yang asalnya diterbitkan di Free Malaysia Today pada 24 Okt.
Peguam Tei turut memaklumkan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap Nizam sekiranya dia tidak memenuhi tuntutan tersebut dalam tempoh tujuh hari.
Nizam antara lain mendakwa Tei merupakan dalang di sebalik skandal perlombongan Sabah dan telah memohon lesen melombong untuk keluasan tanah hampir sejuta hektar melalui 20 syarikat berbeza.
Individu kontroversi
Sebagai respons, Nizam menggambarkan Tei sebagai individu yang penuh dengan kontroversi, dan mendakwa kenyataan yang dibuatnya sebagai tidak berasas dan membangkitkan “isu undang-undang serta etika yang serius” berkaitan dirinya.
Dia turut menyifatkan Tei sebagai individu yang menghadapi pertuduhan di mahkamah atas dakwaan menawarkan rasuah, disaman oleh Sabah Mineral Management Sdn Bhd atas dakwaan penipuan, serta mendakwa statusnya sebagai “pemberi maklumat” dalam skandal perlombongan Sabah telah dinafikan oleh SPRM.

“Sekiranya prosiding undang-undang dimulakan, isu berkaitan reputasi ini akan diputuskan sepenuhnya di mahkamah,” kata Nizam lagi.
Nizam berkata dia kekal komited untuk melindungi kepentingan rakyat Sabah daripada mana-mana individu yang cuba menjejaskan kerajaan negeri serta agensinya.
Nizam juga telah mengarahkan peguamnya untuk membuat pembelaan daripada sebarang tuntutan dan memfailkan tuntutan balas terhadap Tei.
Dalam notisnya minggu lalu, Tei antara lain turut menuntut pampasan kewangan berikutan reputasinya yang terjejas akibat kenyataan Nizam, selain menuntut agar Nizam membuat aku janji bertulis untuk tidak mengulangi kenyataan itu atau apa-apa kenyataan seumpamanya.
Dia juga menuntut agar FMT menurunkan laporan berkenaan daripada laman web dan media sosialnya.






