Malaysia Oversight

Pemimpin GRS minta orang ramai bertenang, serah pada polis

By MkiniBM in September 2, 2025 – Reading time 2 minute
Pemimpin GRS minta orang ramai bertenang, serah pada polis


Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Joniston Bangkuai cuba meredakan kegelisahan orang ramai berikutan siri perhimpunan Justice for Zara, menegaskan bahawa negeri berkongsi kebimbangan ribuan yang berhimpun pada malam 31 Ogos.

Himpunan itu, yang diadakan di beberapa daerah pada petang Ahad, menarik orang ramai yang hadir menuntut jawapan berhubung kematian Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, yang kesnya menjadi tumpuan bagi mengecam gejala buli.

Beberapa pemimpin Parti Gagasan Rakyat Saba telah membuat laporan polis di Tawau, memetik klip 42 saat ucapan seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang didakwa menghina dan menghasut.

Joniston, meski tidak menolak aduan itu, mengingatkan orang ramai bahawa negeri turut prihatin dengan kes itu.

“Jika anda mengatakan bahawa laporan telah dibuat, maka kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

“Apa yang penting, kita semua prihatin dengan semua isu ini. Dan seperti kata ketua menteri, juga sangat prihatin dengan kes buli ini. Dia melihat kes ini sebagai perkara yang sangat serius,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini, merujuk kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Dia mengingatkan orang ramai mengenai proses yang sedang berlangsung.

“Siasatan telah dijalankan dan kini kita mempunyai inkues. Jadi saya rasa kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan perkara ini. Dan jika boleh, kita juga bertenang. Saya pasti siasatan yang adil sedang dijalankan,” katanya.

Joniston menegaskan bahawa kerajaan dan rakyat sama-sama prohatin terhadap kes Zara.

“Kita semua terkesan dengan apa yang berlaku. Jadi dari satu segi, kita semua harus bertenang. Bagi kita dalam kerajaan, kita juga mesti terus menjalankan tanggungjawab kita. Walaupun dalam persekitaran seperti itu, kita mesti kekal fokus,” katanya.

Kumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini mengkritik dakwaan penahanan ahlinya di bawah Akta Hasutan 1948, selepas mereka menghadiri himpunan solidariti untuk Zara, yang kematiannya dikaitkan dengan buli.

Semakan awal Malaysiakini menunjukkan hanya seorang pelajar telah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis.

Dalam satu kenyataan hari ini, Suara Mahasiswa UMS turut mengecam parti politik yang disifatkan mengeksploitasi tragedi itu.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tawau Jasmin Hussin berkata pihaknya menerima tiga laporan polis hari ini berhubung seorang individu yang didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah semasa perhimpunan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.



Source link