Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Chan Foong Hin menggesa Kementerian Kewangan mendedahkan jumlah sebenar hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah.
“Dalam masa yang sama, adalah tiba masanya bagi Kementerian Kewangan mendedahkan jumlah sebenar hasil persekutuan yang diperolehi daripada Sabah, bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan sebarang salah faham atau salah tafsir oleh mana-mana pihak,” katanya.
Anggota parlimen Kota Kinabalu itu berkata demikian dalam kenyataan hari ini, selepas taklimat mengenai pemberian khas untuk Sabah yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.
Chan berkata pendedahan itu akan membantu mempromosikan keterbukaan ketika kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berusaha menyemak hak hasil 40 peratus Sabah bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dia juga mencadangkan jawatankuasa teknikal sedia ada bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 ditugaskan untuk mengetuai proses semakan dalam tempoh 90 hari yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Chan menambah bahawa kedua-dua kerajaan, melalui jawatankuasa itu, sedang merangka mekanisme baru untuk mengira kadar geran khas masa depan, konsisten dengan semangat dan prinsip MA63.
Timbalan ketua DAP Sabah itu mengambil maklum jaminan Anwar bahawa Putrajaya akan menghormati proses undang-undang dan mengkaji secara terperinci penghakiman bertulis mahkamah.
“Saya mengambil maklum komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan segala perkara tertunggak berkaitan MA63, memperkukuh kadar pemberian khas untuk Sabah, serta meningkatkan peruntukan tahunan bagi tujuan operasi dan pembangunan demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat Sabah.
“Susulan sesi taklimat tersebut, saya turut menyampaikan pandangan kepada perdana menteri bahawa kini adalah masa yang sesuai bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bekerjasama dalam semangat perpaduan dan keikhlasan, bagi memastikan hak-hak perlembagaan Sabah bawah MA63 terus dipertahankan melalui perbincangan yang tulus, saling mempercayai, serta pelaksanaan yang telus,” katanya.
Semalam, Anwar berkata kerajaan persekutuan akan memutuskan sama ada untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai bahagian 40 peratus hasil persekutuan Sabah selepas mendapatkan nasihat peguam negara.
Sesi taklimat khas dipanggil susulan keputusan mahkamah Jumaat lalu, di mana dia mendapati kerajaan persekutuan bertindak secara menyalahi undang-undang dan melampaui kuasanya di bawah Perlembagaan Persekutuan dengan gagal menghormati bahagian 40 peratus hasil persekutuan Sabah selama hampir lima dekad.






