Kerajaan diminta menjelaskan percanggahan angka berhubung kelulusan program Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) susulan kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mengatakan hanya 16 program berimpak tinggi diluluskan.
Menurut Suthan Mookaiah daripada sayap Bersekutu Bersatu, kenyataan PMO itu bercanggah dengan kenyataan Mitra sebelum ini yang berkata sebanyak 45 program diluluskan.
“Kenyataan PMO berkata kononnya hanya 16 program diluluskan kerana program lain bertindih dengan kementerian lain. Saya nak tanya, sejak bila kementerian mengadakan program khas kepada masyarakat India?
“Kenyataan yang mengelirukan berhubung jumlah program diluluskan di bawah Mitra menunjukkan unit khas itu yang ditubuhkan untuk pembangunan dan kebajikan masyarakat India kini dalam masalah.
“Ini bukan isu audit atau isu pertindihan. Seperti saya kata ini adalah rancangan untuk ‘bunuh’ Mitra. Cakap terus terang adakah Mitra akan dimansuhkan?” katanya kepada Malaysiakini.
Pada 30 Julai, PMO mengumumkan 16 program diluluskan untuk manfaat masyarakat India sehingga Julai 2025, dengan penekanan kepada tiga bidang utama – pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan, serta kesejahteraan sosial.
Bagaimanapun, kenyataan media itu tidak menyebut jumlah peruntukan kewangan atau status terperinci bagi setiap program yang diluluskan.
PMO juga menjelaskan beberapa permohonan tidak dapat diluluskan atas faktor pertindihan, terutamanya yang berkaitan dengan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang berada di bawah bidang kuasa Majlis TVET Negara.
Selain itu, beberapa lagi cadangan program dikatakan tidak dapat diluluskan kerana bertindih dengan inisiatif sedia ada di bawah beberapa kementerian, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Namun, kenyataan PMO dilihat sebagai mengelirukan selepas sebelum ini Mitra mengesahkan bahawa sebanyak 45 cadangan program telah diperakui dalam fasa pertama dan dikemukakan kepada PMO untuk pertimbangan.
Difahamkan program-program ini bernilai RM40 juta di bawah Fasa 1 Belanjawan 2025 dan menyasarkan sokongan kepada komuniti India yang memerlukan.
Semalam Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan memberitahu di parlimen bahawa Mitra telah mendapat kelulusan untuk melaksanakan tiga program di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) dengan peruntukan keseluruhan RM21.25 juta.
Antara program tersebut ialah Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta bernilai RM10.514 juta yang akan memberi manfaat kepada 4,700 kanak-kanak India.
Selain itu, peruntukan RM10 juta disalurkan untuk Program Bantuan Subsidi Dialisis yang akan membantu 2,000 pesakit buah pinggang India mendapatkan rawatan berkala.
Mengulas lanjut, Suthan bertanya jika terdapat pihak yang sabotaj Mitra.
“Dulu Mitra kata 45 program diluluskan. Kelmarin PMO kata 16 program diluluskan dan terbaru Ramanan berkata tiga program diluluskan.
“Siapa yang sebenarnya sabotaj Mitra? Saya sudah beritahu sebelum ini, Mitra ini satu sen pun tak akan keluar.
“Ini yang sedang berlaku, apa yang kita dapat cuma kenyataan media dan alasan remeh daripada mereka. Siapa yang main belakang tadbir?” soalnya.
Malaysiakini telah menghubungi PMO, Mitra dan Ramanan untuk mendapatkan ulasan.