Malaysia Oversight

Pemimpin Bersatu tekan speaker: Kosongkan kerusi Labuan segera

By MkiniBM in April 29, 2025 – Reading time 2 minute
Pemimpin Bersatu tekan speaker: Kosongkan kerusi Labuan segera


Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tiada pilihan selain mengisytiharkan kerusi Parlimen Labuan sebagai kosong, kata Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee.

Menurut Ronald, ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak saman Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman yang mencabar pemecatan automatiknya daripada Bersatu.

“Memandangkan Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membatalkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan YB Dato’ Indera Suhaili, maka jelas alasan yang dijadikan sandaran oleh YB Tan Sri Speaker untuk tidak mengosongkan kerusi P.166 Labuan dan menolak permohonan saya dalam surat terdahulu bertarikh 9 Julai 2024, sudah tidak lagi relevan dan terpakai.

“Oleh itu, YB Tan Sri Speaker tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menghormati dan menjunjung mulia Perlembagaan Persekutuan dengan membuat perisytiharan bahawa berlaku kekosongan bagi kerusi P.166 Parlimen Labuan untuk membolehkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat ketetapan untuk suatu pilihan raya kecil diadakan segera,” katanya pada kenyataan hari ini.

0157185f4e477613c6b198ee9cdd0878
Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee.

Ronald turut memaklumkan dia telah menghantar surat kepada Johari berhubung perkara tersebut hari ini.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan berpihak kepada Bersatu selepas Hakim Nor Hayati Mat mendapati saman Suhaili tidak mempunyai merit.

“Permohonan Bersatu untuk membatalkan saman dibenarkan dan mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos RM5,000 kepada parti itu,” kata peguam Bersatu, Chetan Jethwani kepada Bernama.

Dalam pemfailan yang dilihat oleh Malaysiakini, Bersatu berhujah tindakan undang-undang Suhaili berkaitan pemecatan keahlian itu satu percubaan untuk mengelak daripada peruntukan undang-undang antilompat parti.

3d037b94c41540ef7becef74443c6465

Suhaili (gambar atas) salah seorang daripada enam bekas wakil rakyat Bersatu yang status mereka sebagai ahli parlimen telah menjadi persoalan namun speaker Dewan Rakyat sebelum ini membenarkan mereka mengekalkan kerusi masing-masing.

Pemecatan mereka daripada keahlian Bersatu berlaku selepas keenam-enam wakil rakyat berkenaan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Ibrahim pada Oktober 2023.

Susulan itu, Bersatu meminda perlembagaannya bagi menggugurkan keahlian mana-mana ahli yang melompat parti, satu tindakan yang dijangka mengaktifkan peruntukan antilompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menyebabkan kerusi mereka dikosongkan.

Bagaimanapun, Johari menolak permohonan Bersatu untuk mengosongkan keenam-enam kerusi tersebut (gambar bawah).

d197b5d08565d241e2bd4920e1b94caf

Dalam satu surat yang dilihat oleh Malaysiakini, Johari berhujah peruntukan antilompat parti dalam Perlembagaan Persekutuan bertujuan menjamin kestabilan politik.

Justeru, selepas meneliti semua bukti dan keterangan, dia memutuskan tiada keperluan untuk keenam-enam ahli parlimen tersebut melepaskan kerusi dan mereka masih dianggap sebagai wakil rakyat pembangkang.

Selain Suhaili, lima wakil rakyat yang lain ialah:

  • Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang)

  • Zahari Kechik (Jeli)

  • Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang)

  • Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar)

  • Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang)



Source link