Pemilik kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana, Kepala Batas di George Town, dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan berhubung insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di hadapan premisnya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abd Rahman berkata lelaki berusia 59 tahun yang ditahan pada malam Sabtu itu dibebaskan semalam.
“Secara keseluruhannya lebih 10 orang telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik itu dan kami juga telah melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.
“Pemilik kedai itu dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira 3 petang semalam dan pihak polis juga telah menghantar kertas siasatan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini, kami tunggu arahan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Pulau Pinang antara Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Azizee Ismail yang dilantik Ketua Polis Negeri yang baharu dan Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.
Majlis itu disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
Mengulas lanjut Anuar berkata pihaknya membuka siasatan bagi kes itu di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita bagi jaminan siasatan kes dibuat secara telus dan sekarang ini kami sedang menunggu keputusan dari pejabat Timbalan Pendakwa Raya … .
“Berdasarkan siasatan polis, pemilik kedai itu yang mengibarkan bendera secara terbalik manakala seorang pekerjanya berada di sebelah dan merekodkan insiden tersebut namun video yang tular pula dirakam oleh orang awam yang berada di situ,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan terdapat pihak yang mahu mengadakan demonstrasi berkaitan isu itu, Anuar mengesahkan polis menerima maklumat berhubung perkara berkenaan yang pada mulanya dirancang diadakan di hadapan premis berkenaan hari ini.
“Kita telah mengambil langkah untuk menasihati mereka supaya tidak meneruskan tindakan bagi mengelakkan sebarang masalah ketenteraman di kawasan terlibat, lagi pun polis telah jalankan siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya.
Terdahulu tular melalui media sosial video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di George Town, yang seperti sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mendapat kecaman warganet.
Berikutan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuat laporan polis.
– Bernama