Malaysia Oversight

Pemilihan PKR tangguh tiada kaitan dengan Rafizi

By MkiniBM in May 3, 2025 – Reading time 2 minute
Pemilihan PKR tangguh tiada kaitan dengan Rafizi


Audit kedua yang sedang dilakukan terhadap keputusan pemilihan di lima cabang merupakan antara faktor pemilihan peringkat pusat – yang sepatutnya berjalan hujung minggu ini – ditangguhkan.

Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa menafikan tanggapan yang penangguhan itu ada kaitan dengan tindakan penyandang timbalan presiden Rafizi Ramli mengambil cuti daripada jawatannya selaku menteri ekonomi.

“Pastinya tidak. Seperti yang perdana menteri kata, ambil cuti adalah adalah perkara biasa,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Zaliha berkata demikian ketika ditanya jika penangguhan pemilihan ada kaitan dengan spekulasi Rafizi akan meletakkan jawatan selaku menteri ekonomi – khabar angin yang telah dinafikan seorang menteri yang enggan dinamakan sebelum ini.

Suara tidak puas hati dalam semakin meningkat susulan pemilihan peringkat cabang, yang menyaksikan beberapa sekutu rapat Rafizi Ramli tewas, membayangkan cabaran besar menunggunya dalam usaha mempertahankan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan.

Semalam, Zaliha mengumumkan penamaan calon bagi pemilihan peringkat pusat akan diadakan pada 8 dan 9 Mei, namun tidak menyatakan sebab ia ditangguhkan.

Hari ini, dia menjelaskan bahawa penangguhan itu berpunca daripada keperluan persediaan selaras dengan pindaan terbaru perlembagaan parti.

“Dengan pindaan perlembagaan yang baru, terdapat banyak keperluan yang perlu kami sediakan.

“Contohnya senarai perwakilan dan sebagainya, kerana kini ia mengikut peratusan undi yang dimenangi oleh setiap calon ketua cabang.

“Itulah sebabnya kami perlukan lebih masa untuk membuat persediaan,” kata Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Audit masih berjalan

Zaliha turut mengesahkan yang PKR telah melantik juruaudit antarabangsa bagi meneliti keputusan pemilihan peringkat cabang, dengan laporannya dijangka diperoleh minggu depan.

Difahamkan penangguhan penamaan calon bagi pemilihan peringkat pusat hari ini disebabkan keputusan pemilihan peringkat cabang masih dalam proses audit.

Semua calon ketua cabang yang memperoleh sekurang-kurangnya 15 peratus undi layak mencalonkan perwakilan ke Kongres Nasional PKR.

Para perwakilan akan mengundi barisan kepimpinan pusat semasa kongres yang dijadual bermula pada 23 Mei ini.

Pertikaian tetap berterusan

Terdahulu, seorang calon yang menang jawatan ketua cabang – dengan kemenangannya dipertikai pencabarnya – mendakwa terdapat bantahan baru yang dibangkitkan dalam sesi audit semalam.

“Juruaudit telah menerangkan dan menunjukkan prosesnya, tetapi mereka masih tidak puas hati,” katanya, merujuk kepada pencabarnya serta seorang penyandang jawatan ketua cabang lain yang turut tewas.

Malaysiakini telah menghubungi kedua-dua pemimpin berkenaan dan tidak menyiarkan nama mereka sementara menunggu maklum balas.

Difahamkan lima cabang PKR yang terlibat dalam audit adalah Shah Alam, Johor Bahru, Setiawangsa, Puchong dan Jelutong.



Source link