Status bantahan melibatkan pemilihan beberapa cabang PKR akan diumum minggu depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa.
Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata ketika ini, pihaknya masih menunggu laporan daripada jawatankuasa berkenaan.
“…akan ambil masa sebab kita kena teliti semua bantahan dan aduan sebelum buat keputusan muktamad.
“Ada beberapa (bantahan) keputusan cabang dan kita akan umumkan dalam minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia Madani oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif.
Semalam, Zaliha berkata sebarang bantahan dan rayuan dikemukakan mana-mana pemimpin PKR berhubung pemilihan peringkat cabang akan dinilai oleh Jawatankuasa Aduan serta Jawatankuasa Rayuan sebelum tindakan susulan dilaksanakan.
Dia berkata bantahan atau aduan terbabit akan dinilai oleh jawatankuasa aduan dipengerusikan Ahmad Kassim manakala rayuan pula disemak jawatankuasa rayuan dipengerusikan Mohd Khuzzan Abu Bakar.
Beberapa nama seperti Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru mengemukakan bantahan secara rasmi kepada JPP.
Pemimpin lain yang kalah turut mengambil langkah sama termasuk Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat (Selayang) dan Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam yang mengambil keputusan mengemukakan rayuan rasmi kepada JPP berikutan kekalahan tipis di Cabang Sungai Siput.
-Bernama