
Pemegang IP Amerika Mahu China Membasmi Platform Penstriman Cetak Rompak LokLok, GIMY dan Flujo TV
Effi Saharudin
Populariti platform penstriman menyebabkan perniagaan cetak rompak juga berubah mengikut peredaran zaman. Kedai DVD dan VCD di pusat membeli belah dan pasar malam kini berubah ke platform penstriman haram. Ramai mungkin tidak menyedari platform popular LokLok, GIMY dan Flujo TV ialah platform kandungan cetak rompak yang masih beroperasi kerana wujudnya lubang gelung dalam undang-undang.
LokLok, GIMY dan Flujo TV dilabel sebagai platform penstriman cetak rompak eksport kerana walaupun berpangkalan di China ia tidak ditawarkan kepada pengguna tempatan. Sebaliknya ia ditawarkan khusus untuk pengguna luar negara. LokLok misalnya sangat popular di Malaysia dengan ia tanpa segan silu menawarkan kandungan Netflix, HBO. Prime dan pelbagai lagi kandungan milik studio lain secara haram.
Oleh sebab itu Perikatan Harta Intelek antarabangsa (IIPA) yang dianggotai MPA, RIAA dan ESA menggesa wakil perdagangan Amerika Syarikat untuk memberikan tekanan kepada China menerusi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Perkhidmatan penstriman cetak rompak ini masih beroperasi di China kerana ia tidak melanggar undang-undang negara yang hanya mengharamkan kandungan cetak rompak ditawarkan kepada rakyat. Ketiga-tiga platform menggunakan teknologi geoblock dan selagi ia hanya ditawarkan di Asia Tenggara dan Amerika Latin, mereka boleh beroperasi tanpa diambil tindakan oleh penguasa.
Sejak lima tahun kebelakangan ini kes cetak rompak kembali meningkat disebabkan oleh kos langganan yang semakin meningkat. Jika dahulu pengguna hanya perlu melanggan Netflix, mereka kini perlu melanggan kepada Disney+ Hotstar, HBO Max, dan Prime kerana kandungan yang kini eksklusif untuk platform tertentu sahaja.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






