GUA MUSANG: Pembinaan semula jambatan di Pos Balar di sini yang runtuh sejak 9 Mac lalu memerlukan campur tangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya ia dapat direalisasikan dengan segera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, ia merupakan keperluan mendesak bagi memastikan murid-murid dapat kembali ke sekolah, selain memudahkan urusan keluar masuk penduduk di sekitar Pos Balar termasuk warga pendidik.
“Saya telah mendapat makluman daripada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang memberitahu projek ini telah dimasukkan ke dalam senarai projek segera namun belum dilaksanakan, mungkin kekangan kewangan.
“Jika ada kekangan, saya berpandangan Timbalan Perdana Menteri perlu campur tangan dan bantu dengan memberikan peruntukan kecemasan bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kepayahan anak Orang Asli di Pos Balar menuntut ilmu. Kejadian kepala air kerap berlaku hingga mero sakkan jambatan yang menghubungkan kampung dengan sekolah.
Jambatan utama menghubungkan kampung mereka runtuh sejak 9 Mac lalu, menjadikan laluan ke sekolah bukan sekadar sukar, malah amat berbahaya.
Perjalanan dari rumah mereka ke sekolah memakan masa antara 15 hingga 40 minit.
Tambah Mohd. Syahbuddin, sebaik sahaja jambatan itu runtuh, beliau mengutuskan surat rasmi kepada pihak berwajib bagi memaklumkan perkara tersebut.
Katanya, pembinaan jambatan di Pos Balar adalah salah satu agenda yang diperjuangkan bagi memastikan segala urusan penduduk kembali pulih seperti sedia kala.
“Sebelum ini saya menghulurkan bantuan kepada penduduk untuk membina jambatan sementara bagi memudahkan urusan, namun telah roboh dihanyutkan arus deras sungai,” ujarnya. – UTUSAN