Pembinaan Bangunan Terpanjang Dunia The Line Dilaporkan Bermasalah
Effi Saharudin
Dengan projek The Line di Neom, Arab Saudi ingin menjadi negara dengan bukan sahaja bangunan terpanjang tetapi terbesar pernah dibina dalam sejarah peradaban homo sapiens. Ia adalah buah fikiran batu jenama Putera Muhammad bin Salman dengan ia sepanjang 170km dan setinggi 500 meter.

Pagi ini Financial Times melaporkan The Line sedang mengalami beberapa masalah besar yang akan menyebabkan projek akan dikecilkan daripada skala asal. Isu pertama ialah rekaan bangunan yang didapati tidak boleh direalisasikan kerana melanggar hukum fizik serta senibina.
Pembinaan fasa pertama The Hidden Marina sudah dimulakan dengan ia akan mempunyai pelabuhan kapal dan gerbang gergasi lengkap dengan lampu chandelier gergasi. Kerana saiznya yang mega, jurutera mendapati chandelier ini tidak boleh dibina kerana akan bergoyang sepanjang masa sehingga musnah dengan sendiri.

Kos asal bangunan juga kini dipercayai melonjak ke lebih $4.5 trilion daripada anggaran asal $1 trilion. Arab Saudi berharap pelaburan asing akan dapat menanggung sebahagian kos tetapi ia gagal dicapai. Selain kos melampau (lebih 10 kali ganda KDNK Malaysia 2024), keperluan bahan binaannya akan mendatangkan impak ke atas industri pembinaan dunia. Untuk membina fasa Hidden Marina, ia mengambil 60% keperluan keluli global. Ini seterusnya akan menyebabkan kos keluli global meningkat secara mendadak.
Adalah dipercayai disebabkan kesemua isu di atas, perancangan asal membina 20 modul pertama sepanjang 16 km kini dikecilkan ke 3 modul sahaja. Ia akan menempatkan pelabuhan, tempat tinggal dan stadium tertinggi dunia yang akan digunakan untuk Piala Dunia Arab Saudi 2034 nanti. Jika apa yang dilaporkan ini benar, mungkin The Line perlu ditukar nama menjadi The Dash sahaja selepas ini.
The Line juga bukan satu-satunya projek mega di Neom yang mengalami masalah. Terdapat juga manipulasi kos pusat ski mewah Projek Trojena yang akan menjadi tuan rumah Sukan Musim Sejuk Asia 2029 dan pusat peranginan Sindalah yang masih belum siap sepenuhnya walaupun dilancarkan Oktober tahun lalu.
Kesemua projek mega ini adalah usaha MBS untuk mengubah imej Arab Saudi daripada sebuah negara pengeluar minyak menjadi destinasi pelancongan utama dunia. Antara projek mega yang telah diluluskan ialah taman tema Dragonball, roller coaster terpanjang dunia, bangunan bawah tanah paling dalam dunia, pusat luncur air di tengah padang pasir dan kolam renang tergantung terpanjang dunia.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






