Pemberi maklumat dalam skandal perlombongan Sabah, Albert Tei, memohon untuk menyoal balas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), Nathasha Sim, di mahkamah.
Ini berkaitan afidavit Sim yang menyokong permohonan SMM untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Tei kerana didakwa melanggar perintah mahkamah, menurut salinan permohonan Tei yang kini tular di media sosial.
Permohonan Tei itu bertujuan untuk menyoal balas Sim berkenaan afidavitnya di mahkamah. Perbicaraan ditetapkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 28 Ogos bagi mendengar permohonan tersebut.
“Adalah perlu dan demi keadilan bahawa (Tei) diberikan kebenaran untuk menyoal balas penyusun afidavit tersebut bagi menjelaskan sindiran, kenyataan yang secara asasnya tidak munasabah dan/atau palsu yang terkandung dalam (afidavit Sim);
“Cadangan untuk menyoal balas penyusun afidavit tersebut akan membantu mencapai keadilan kerana bukti afidavit dan/atau dokumen yang wujud pada masa yang sama adalah tidak mencukupi untuk membolehkan mahkamah ini membuat keputusan muktamad terhadap dakwaan penghinaan mahkamah terhadap (Tei),” menurut notis permohonan bertarikh 28 Julai.
Semakan Malaysiakini dengan rekod mahkamah mengesahkan dokumen itu adalah sah.
Ketika dihubungi semalam, peguam Tei, Chong Kian Ming, turut mengesahkan kesahihan dokumen tersebut tetapi berkata dia tidak diberi arahan untuk mengulas lanjut.
Prosiding mahkamah ini merupakan sebahagian daripada saman sivil SMM terhadap bekas CEO-nya, Jontih Enggihon, dan Tei.
SMM memfailkan saman terhadap mereka pada Januari lalu, atas dakwaan “penipuan, pelanggaran tugas fidusiari dan kerahsiaan, pengubahan dokumen rasmi, konspirasi untuk mencederakan melalui cara yang menyalahi undang-undang, dan kemungkinan bersekongkol dengan pihak ketiga”.
Prosiding itu kini sedang berlangsung di hadapan hakim Lim Hock Leng.