C4 Center menyelar tindakan pihak pendakwaan menggugurkan kesemua 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap pemimpin Bersatu Adam Radlan Adam Muhammad selepas dia membayar kompaun RM4.1 juta.
Menegaskan bahawa keputusan itu mendedahkan kelemahan dalam ketelusan pendakwaan dan menimbulkan keraguan terhadap integriti sistem keadilan jenayah negara, NGO itu menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memberikan penjelasan lanjut mengenai keputusan berkenaan.
Pada 20 Ogos, Adam yang juga Timbalan Ketua Bersatu Segambut dibebaskan daripada lima pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Prosiding 2 (1AMLA).
C4 Center, bagaimanapun, berhujah bahawa walaupun Seksyen 92(1) AMLA membenarkan kompaun “apa-apa kesalahan di bawah Akta ini atau di bawah peraturan yang dibuat di bawah Akta ini”, tiada peruntukan yang setara di bawah Akta SPRM.
“Seksyen 92 AMLA menjelaskan bahawa prosedur (kompaun) ini hanya terpakai untuk kesalahan di bawah AMLA, jadi bagaimana pihak pendakwa boleh menggunakan peruntukan itu untuk mewajarkan menarik balik lima pertuduhan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
“Ringkasnya, mereka tidak boleh mewajarkannya. Keputusan untuk menggugurkan lima pertuduhan menerima atau meminta rasuah adalah semata-mata menjalankan budi bicara pendakwaan, tidak terikat oleh mana-mana kriteria atau garis panduan yang jelas,” dakwanya.
Ia juga mengatakan bahawa kekurangan ketelusan mengenai butiran yang terkandung dalam surat representasi Adam atau faktor-faktor yang menyokong keputusan pihak pendakwaan untuk menerima tawaran kompaun itu menimbulkan persoalan lanjut mengenai perkara itu.
“Oleh itu, C4 Center menyeru AGC untuk memberikan lebih penjelasan mengenai percanggahan yang dirasakan dalam keputusan untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap Adam, terutamanya jika terdapat sebarang alasan lain yang mewajarkan penarikan balik pertuduhan di bawah Akta SPRM.
“Selain itu, AGC mesti merangka dan menerbitkan garis panduan pendakwaan yang jelas, serupa dengan Kod Pendakwa Raya United Kingdom, untuk memastikan prosiding jenayah dijalankan demi kepentingan keadilan dan kesaksamaan,” tambahnya.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Suzana Hussin telah melepas dan membebaskan Adam selepas timbalan pendakwa raya Farah Yasmin Salleh berhujah bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan yang difailkan terhadapnya, berikutan penerimaan surat representasinya oleh SPRM pada 3 Jun.
Sambil menyatakan bahawa agensi antirasuah itu bersetuju dengan cadangan kompaun RM4.1 juta dibayar oleh Adam mengikut Seksyen 92(1) AMLA, Farah pada mulanya meminta tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan.
Bagaimanapun, mahkamah memberikan Adam pembebasan penuh “kerana pihak pendakwaan telah menarik balik semua pertuduhan dan tidak lagi berhasrat untuk meneruskan kes itu”.
Sementara itu, C4 Center juga menegaskan bahawa rancangan Putrajaya untuk memisahkan peranan peguam negara (AG) dan pendakwa raya tidak seharusnya dianggap sebagai satu-satunya penyelesaian kepada “defisit amanah yang semakin meningkat” terhadap sistem keadilan jenayah negara.
“Sememangnya, walaupun kerajaan telah komited terhadap pengasingan pejabat-pejabat ini, belum ada sebarang perbincangan mengenai langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan kebebasan pendakwa raya baru dalam menjalankan pendakwaan jenayah sebaik sahaja pengasingan itu dilaksanakan,” kata C4 Center.