Malaysia Oversight

Pembantu Kitingan nafi dakwaan rasuah, kata video ‘sengaja direka’

By MkiniBM in October 1, 2025 – Reading time 1 minute
Pembantu Kitingan nafi dakwaan rasuah, kata video 'sengaja direka'


Pembantu kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan, yang dikaitkan dengan skandal rasuah permobongan di negeri itu menafikan penglibatannya dalam kontroversi berkenaan.

Rizal Johari, yang merupakan setiausaha sulit Jeffrey, menafikan dakwaan melakukan rasuah dan menyifatkan video terbaharu yang memaparkannya bercakap dengan ahli perniagaan, Albert Tei sebagai sebahagian daripada usaha memburukkan nama kepimpinan Sabah.

“Video terbaru itu bukan bukti salah laku, sebaliknya satu lagi kempen yang dirancang untuk mencemarkan reputasi kepimpinan Sabah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 1 Okt.

Pada hari yang sama, Rizal menghabiskan masa tiga jam disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain bosnya turut dipanggil.

Jeffrey sebelum itu disoal siasat selama lima jam oleh SPRM pada 25 Sept selepas videonya berbual dengan Tei turut disiarkan oleh Malaysiakini.

Terdahulu, Malaysiakini juga menyiarkan video yang menunjukkan Rizal berbual dengan Tei mengenai pertukaran wang.

Rizal mendakwa rakaman itu “sengaja direka” dengan ulangan sebutan tentang wang yang bertujuan memberi gambaran palsu wujudnya urusan rasuah.

Dia mendakwa pendedahan itu dibuat pada waktu tertentu untuk mempengaruhi pengundi dan menguntungkan tokoh politik tertentu.

Dia turut mendakwa Tei tidak bertindak sendirian, sebaliknya “berada di bawah arahan atau perlindungan individu berpengaruh”.

“Siapa pun mereka, biarlah jelas bahawa merekalah musuh sebenar Sabah,” tambahnya.

Rizal menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang dan menyatakan dia mempunyai “keyakinan penuh terhadap sistem perundangan”.

Dia juga menegaskan bahawa baik dirinya mahupun Jeffrey tidak akan gentar dengan apa yang digelarnya sebagai “taktik kotor” menjelang pilihan raya negeri.



Source link