Malaysia Oversight

Pembangunan pelabuhan ketiga antara skop perbincangan JBI Selangor

By TheSun in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
Pembangunan pelabuhan ketiga antara skop perbincangan JBI Selangor


SHAH ALAM: Pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Kuala Langat adalah antara skop perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) hari ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata bagaimanapun, skop perbincangan itu masih pada peringkat awal serta turut memerlukan penelitian Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan (MOF).

“(Pembangunan Pulau Carey) itu termasuk dalam skop perbincangan (Mesyuarat JBI). Tadi, ada cadangannya, tetapi kita baru bermula dan masih terlalu awal.

“Kita perlu hantar kepada MOF dan Kementerian Ekonomi serta mereka perlu teliti dahulu. Kalau berjalan baik, (projek itu) akan menjadi satu lonjakan penting yang boleh diisi (dimasukkan) dalam review Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) atau Rancangan Kedua (RS-2) yang akan dibentangkan pada Jun 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat JBI Selangor 2025 yang dipengerusikan bersama dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Amirudin berkata Mesyuarat JBI berkenaan antara lain turut membincangkan mengenai komitmen pelaburan dan pengukuhan agenda pembangunan, di samping melakukan susulan berterusan membabitkan kedua-dua pihak, iaitu Selangor dan MITI.

Beliau berkata tiga kertas perbincangan daripada Selangor dibawa dalam mesyuarat itu, iaitu pembangunan taman industri, pembinaan projek sisa buangan kepada tenaga (WTE) dan taman aero di Selangor.

“Pada peringkat MITI ada kertas berkenaan pembangunan downstream midstream unsur nadir bumi (REE) dan mekanisasi robotik dalam pengurusan pembersihan.

“Satu lagi berkaitan tadbir urus kelulusan yang cepat, pantas dan efisien serta kita akan gabung dengan apa yang sedang dilaksanakan dalam dasar Speed Selangor,” katanya.

Di samping itu, Amirudin berkata mesyuarat berkenaan juga membincangkan mengenai jurang antara import yang tinggi di Selangor, di samping usaha mengekalkan konsistensi dan penghasilan pelaburan untuk membantu kemampanan ekonomi negara.

“Kami mengimport lebih banyak barangan daripada eksport. Tetapi, import ini sebahagiannya kerana import bahan makanan yang masih lagi besar. Kebetulan pintu masuk utama negara di Pelabuhan Klang termasuk juga lapangan terbang dan kargo (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

“Jadi, angka itu nampak jurang defisit (import dan eksport), namun kita akan cuba atasi dengan memperbanyak lagi pengeluaran pada masa hadapan,” katanya – BERNAMA



Source link