PARLIMEN l Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan hari ini menyindir sikap wakil rakyat pembangkang yang meminta pelbagai peruntukan pembangunan di kawasan mereka, namun tidak menyokong Belanjawan 2026.
Beliau memberikan reaksi itu kepada soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai perancangan kementerian menaik taraf jalan termasuk cadangan penyambungan lebuh raya dari Senai-Desaru ke Mersing serta Lebuhraya Pantai Timur 4 (LPT4) dari Pekan ke Mersing, selain status terkini projek bypass Mersing.
“Mersing ini pembangkang, minta bukan main banyak lagi. Semalam pembangkang-pembangkang ini tak menyokong pun belanjawan, tetapi minta berjela-jela.
“Kenapa tak sokong semalam, lepas itu minta itu, minta ini…belanjawan semalam pun untuk rakyat, tapi mereka tak sokong,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 120 Ahli Parlimen bersetuju, 67 tidak bersetuju dan 35 tidak hadir.
Sementara itu, Ahmad berkata Kementerian Kerja Raya sentiasa berusaha menaik taraf lebuh raya dan jalan utama di Johor, sebagai persediaan menghadapi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi serta aliran trafik di kawasan itu.
Beliau berkata terdapat sembilan zon perdana JS-SEZ yang direka bentuk, bagi memastikan sambungan infrastruktur yang lancar melalui jaringan jambatan, lebuh raya dan pelabuhan.
Ahmad berkata Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya telah memberikan kelulusan kepada sejumlah projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Ini termasuk pembinaan lorong tambahan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari Yong Peng Utara ke Senai Utara (Fasa 1) dan projek naik taraf Lebuh Raya Pasir Gudang daripada empat lorong kepada enam lorong dari Persimpangan Bertingkat Perling ke susur naik PLUS.
Beliau berkata sejumlah projek baharu juga diluluskan dalam Rancangan Boleh Pinda 1 RMK13 bagi menyokong pembangunan JS-SEZ, antaranya kerja awalan naik taraf Jalan Parit Panjang dari Pekan Air Baloi, Pontian ke Persimpangan Tol Sedenak dan projek naik taraf Lebuh Raya Senai-Desaru dari Jambatan Sungai Johor ke Desaru.
Ahmad menjawab soalan asal Muhammad Islahuddin mengenai kesediaan kementerian untuk menaik taraf lebuh raya dan jalan utama di Johor yang semakin sesak akibat pertambahan kenderaan, serta pembangunan pesat di Iskandar Malaysia khususnya dalam menghadapi pelaksanaan JS-SEZ.
– Bernama






