Saksi yang juga seorang pemandu e-hailing tampil menceritakan detik-detik individu dikenali sebagai Pamela Ling, 42, dibawa secara paksa oleh beberapa suspek dalam kejadian 9 April lalu.
Mahu hanya dikenali sebagai Kok, 55, dia dilaporkan dipaksa menandakan complete job (selesai hantar penumpang) sebelum kad pengenalan dan lesen memandunya diambil mereka yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Menurutnya, dia mengambil wanita itu dari Velocity Tower, Cheras untuk ke SPRM Putrajaya dan sepanjang perjalanan mereka tidak berbual namun penumpangnya itu ada menghubungi seseorang.
Jelasnya, ketika hampir tiba di bangunan SPRM, tiba-tiba tiga kereta muncul dari depan, di belakang dan di sisi kenderaannya sebelum terus menghalang laluan.
“Kemudian, keluar dua lelaki dan seorang wanita dari dua kereta, manakala tiada orang keluar dari satu lagi kereta.
“Saya lihat dua lelaki itu pakai vest polis, manakala seorang lagi wanita memakai pakaian seragam polis menghampiri kereta saya serta memaklumkan ingin menahannya (Ling) bagi membantu siasatan selepas menerima laporan polis,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, Ling dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM di Putrajaya, selepas diculik individu menaiki tiga kereta.
Polis sedang menyiasat kemungkinan mangsa dilarikan oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis atau pihak berkuasa yang sah, susulan kehilangannya.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata siasatan turut mengambil kira keterangan pemandu e-hailing yang membawa wanita terbabit ke bangunan SPRM pada hari kejadian selain semakan rakaman kamera litar tertutup.
Semalam Malaysiakini melaporkan, wanita yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberi keterangan kepada SPRM bulan lalu itu, didakwa diculik oleh individu yang memakai pakaian seragam polis.

Dakwaan ini dibuat oleh peguamnya, N Sivananthan yang berkata dia telah melihat laporan polis yang dibuat oleh pemandu Grab yang membawa Ling.
“Berdasarkan laporan polis, pemandu Grab itu kata keretanya telah dihalang ketika mereka hampir tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya,” katanya.
Mengulas lanjut, Kok berkata pada mulanya, wanita itu enggan keluar dari kereta sebelum seorang wanita berpakaian polis menariknya keluar.
“Dua lelaki lain kemudian menerangkan ini adalah tangkapan dan mendakwa hanya akan menghantar pelanggan saya itu (Pamela) ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
“Barulah ketika itu wanita terbabit turun dan dia membayar RM100 kepada saya untuk kos penghantaran sebelum penculik itu memaksa saya menekan butang complete job,” katanya dipetik sebagai berkata.
Kok sebelum ini dilaporkan membuat laporan polis susulan kejadian itu.