Malaysia Oversight

Pelepasan karbon dari 14 pusat data M’sia setara Papua New Guinea

By MkiniBM in August 8, 2025 – Reading time 3 minute
Pelepasan karbon dari 14 pusat data M'sia setara Papua New Guinea


Usaha Malaysia menjadi hab pusat data serantau mungkin terpaksa dibayar dengan kos alam sekitar yang membimbangkan apabila 14 kemudahan baru dijangka menjana pelepasan karbon tahunan yang setara dengan Papua New Guinea.

Analisis kumpulan alam sekitar, RimbaWatch, memberi amaran bahawa ledakan pembinaan pusat data di negara ini akan meningkatkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 9.9 juta tan CO₂ setahun apabila semua kemudahan mula beroperasi.

Menjelaskan data itu melalui laporan bertajuk Kesan Iklim Daripada Perluasan Pusat Data Malaysia yang didedahkan semalam, kumpulan terbabit mendakwa jumlah pelepasan ini itu setara dengan lebih 2 juta kenderaan penumpang di jalan raya Malaysia.

Empat belas pusat data yang dikaji oleh RimbaWatch termasuk tiga yang telah siap antara 2023 hingga November 2024, dua sedang melalui proses pengembangan, lima sedang dibina, dan empat lagi dalam cadangan.

Kesemuanya mewakili kapasiti baharu sebanyak 2.2GW.

Apa yang lebih membimbangkan ialah 1.7GW daripada kapasiti pusat data tersebut tidak mempunyai rancangan tenaga boleh diperbaharui yang jelas. Maksudnya, kemudahan berkenaan akan bergantung sepenuhnya kepada grid elektrik negara yang masih bergantung kepada bahan api fosil.

“Berdasarkan Faktor Pelepasan Grid (GEF) di Semenanjung Malaysia, pusat data ini akan mengakibatkan pelepasan karbon sebanyak 9,992,975 tan CO₂e (atau 9.9 juta tan CO₂ setara).

“Sebagai perbandingan, jumlah ini adalah bersamaan dengan lebih 2 juta kenderaan penumpang tambahan di jalan raya.

“Ia juga setara dengan jumlah pelepasan gas rumah hijau oleh seluruh negara seperti Papua New Guinea pada 2023. Salah satu sebab utama angka ini begitu tinggi adalah kerana grid tenaga Malaysia sangat bergantung kepada bahan api fosil – yang pada 2022 dianggarkan sebanyak 81 peratus daripada keseluruhan pengeluaran tenaga.

“Pada Jun 2025, dilaporkan bahawa Malaysia merancang untuk meningkatkan kapasiti loji janakuasa berasaskan gas sebanyak 50 peratus bagi memenuhi permintaan daripada pusat data,” kata laporan itu.

Pada Mei lalu Johor digesa untuk menyemak semula garis panduan pembangunan pusat data berikutan kebimbangan terhadap kesan terhadap alam sekitar dan kelestarian sumber.

Kukup, Jefridin Atan, yang dipetik Bernama berkata isu utama ialah keperluan tenaga dan air yang tinggi untuk menyokong operasi pusat data yang boleh memberi tekanan kepada sistem utiliti sedia ada.

New Straits Times pada tahun lalu pula melaporkan yang Sahabat Alam Malaysia memberi amaran bahawa walaupun kekurangan air menjadi isu akibat perubahan iklim, pembaziran dan infrastruktur lama, permintaan air oleh syarikat teknologi untuk penyejukan pusat data boleh menjadi isu besar pada masa akan datang.

Pada Jun lalu Straits Times melaporkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjangkakan bahawa pusat data akan menggunakan lebih 5,000 megawatt tenaga menjelang 2035.

Industri biasanya mengukur kapasiti pusat data berdasarkan penggunaan tenaga elektrik dalam megawatt (MW).

Namun, permintaan semasa dilihat jauh melebihi anggarannya.

Laporan itu menyebut bahawa TNB menerima permohonan bekalan elektrik yang melebihi 11,000MW.

Pengarah RimbaWatch, Adam Farhan, berkata Malaysia perlu lebih komited kepada pelan peralihan tenaga fosil yang adil dan pantas, selain kan pelan berkenaan dimasukkan dalam rancangan peluasan pusat data agar selaras dengan strategi keseluruhan sektor tenaga.

“Selain itu, Malaysia perlu menyertai negara-negara pemain tenaga di Global South untuk menyeru kepada penubuhan Perjanjian AntiProliferasi Bahan Api Fosil yang akan menetapkan rangka kerja global bagi peralihan tenaga yang adil.

“Baru-baru ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengumumkan bahawa rangka kerja insentif pelaburan baru untuk pusat data akan dibangunkan menjelang 2025, termasuk garis panduan pembangunan mampan yang akan merangkumi petunjuk mengenai pelepasan karbon dan penggunaan air.

“RimbaWatch percaya kementerian harus membangunkan belanjawan karbon sektor selaras dengan sasaran 1.5 darjah Celsius, serta pelan pengkarbonan bagi sektor pusat data,” katanya.

Adam turut menekankan garis panduan baru juga perlu memastikan semua pusat data baru mematuhi belanjawan karbon.

Contohnya tambah Adam dengan mengehadkan kelulusan kepada pusat data yang komited kepada 100 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui, serta menambah kapasiti tenaga boleh diperbaharui untuk disalurkan semula kepada grid.

[Baca berita penuh]



Source link