Pelancaran PlayStation 6 Mungkin Ditangguh Selepas 2027 Kerana Kekurangan RAM
Effi Saharudin
Sony dilaporkan mempertimbangkan untuk menangguh pelancaran konsol PlayStation 6 selepas 2027 disebabkan isu kekurangan memori yang melanda industri elektronik. Mereka diramalkan melancarkan PS6 lewat 2027 kerana kitaran setiap generasi PlayStation ialah sekitar 7 tahun. PlayStation 5 yang dijual sekarang mula dipasarkan pada November 2020.

Permintaan yang tinggi untuk NAND bagi keperluan pusat data kecerdasan buatan (AI) menyebabkan harga RAM dan storan SSD naik mendadak. Pengeluar peranti seperti Xiaomi, Samsung, Dell dan Acer telah memberikan petanda peranti tahun 2026 akan dijual pada harga lebih tinggi disebabkan peningkatan kos ini. Bekalan RAM dan SSD dijangka hanya akan kembali stabil selepas 2027.
Walaupun PS6 ditangguh sekalipun, ramai melihat ianya sebagai langkah positif memandangkan PS5 dilihat masih belum lagi mencapai puncak jualan. Ia sudah berjaya mengalahkan Xbox Series S/X dalam perang konsol generasi semasa dengan permainan masih dilihat mempunyai kualiti grafik yang memuaskan.
Tetapi sekiranya laporan ini menjadi realiti, industri konsol pula nampaknya menjadi mangsa baharu industri AI. Valve masih belum mengumumkan harga jualan Steam Machine yang akan dilancarkan awal 2026 kerana tidak boleh meramal perubahan harga komponen.






