Malaysia Oversight

‘Pelan Sabah Maju Jaya tiada makna jika rakyat tetap bergelut isu air, jalan’

By MkiniBM in October 25, 2025 – Reading time 3 minute
'Pelan Sabah Maju Jaya tiada makna jika rakyat tetap bergelut isu air, jalan'


Presiden Warisan Shafie Apdal memulangkan semula gelaran “penjual ubat” kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor,  mendakwa ketua menteri sementara Sabah itu sebagai menjual slogan dan bukannya penyelesaian, di saat penduduk negeri itu terus berdepan masalah bekalan air, keadaan jalan raya yang teruk dan hospital yang kekurangan sumber.

Shafie berkata dasar utama pentadbiran Hajiji, iaitu Sabah Maju Jaya (SMJ), kedengaran hebat namun gagal membawa perubahan sebenar dalam kehidupan harian rakyat.

“Hajiji boleh kata kita jual ubat, tapi ubat apa yang dia jual? Sabah Maju Jaya.

“Dia kata dia jaga rumah kita, tapi dia tak tahu beras pun tiada di rumah, air pun tiada di dapur,” katanya ketika berucap di sebuah program di Sembulan, Kota Kinabalu semalam.

Menurut Shafie, rekod pentadbiran GRS sepanjang lima tahun hanya membawa sedikit kelegaan kepada rakyat biasa.

“Jangan kata sekolah, hotel di Kota Kinabalu pun tiada air.

“Mereka laung Sabah Maju Jaya, sedap didengar…(Tapi) di mana kemajuannya?” soalnya lagi.

89b50c9d9b789eb29ada76fd5d4ffea1
Hajiji Noor

Shafie turut menyindir gabungan politik itu sebagai “Gabungan Rasuah Sabah”.

“Bukan saya kata, rakyat yang kata. Kita mahu yang cekap, bukan yang asyik jual ubat,” katanya.

Bernama melaporkan Hajiji menyebut sindiran “penjual ubat” semasa melancarkan jentera pilihan raya GRS di Kota Kinabalu pada 19 Oktober lalu, dengan mendakwa janji pembangkang sebagai tidak realistik.

Dia merujuk kepada janji Shafie sebelum ini bahawa Warisan mampu menyelesaikan krisis air di Sabah dalam masa setahun dan melatih 50,000 jurutera, sebagai “menabur janji kosong”.

“Cukup-cukuplah ‘menjual ubat’. Berhentilah menjaja ubat, ubat yang hanya mengkhayalkan rakyat yang sebenarnya dahagakan penyelesaian untuk kehidupan lebih baik. 

“Jangan seperti dukun politik, banyak janji tetapi tiada semuanya,” katanya seperti dipetik.

Hajiji menegaskan pentadbirannya telah membuktikan keupayaan melalui dasar hala tuju Sabah Maju Jaya, yang menurutnya membawa hasil negeri tertinggi dalam sejarah dan 18 projek infrastruktur air yang sedang dilaksanakan, termasuk loji rawatan baru di Tawau dan Papar.

Namun, bagi Shafie, angka yang menunjukkan kemakmuran Sabah tidak bermakna selagi rakyat masih berdepan masalah bekalan air dan perkhidmatan asas yang bermasalah.

Justeru, katanya lagi, rakyat perlu memilih yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat, bukan yang terus “menjual ubat”.

Dakwaan kemiskinan KDMR

Bercakap dengan pemberita kemudian, Shafie menafikan dakwaan dia menyebut masyarakat Kadazan-Dusun-Murut-Rungus (KDMR) sebagai yang termiskin di Sabah, dengan menjelaskan kenyataannya telah disalah tafsir.

“Saya tak cakap begitu. Apa yang saya sebut berdasarkan statistik, lapan daerah termiskin di Sabah kebetulannya kawasan majoriti KDMR. Itu fakta,” katanya lagi.

Menurutnya, kenyataan itu bukan untuk menghina atau menuding jari kepada mana-mana kumpulan etnik, sebaliknya untuk membangkitkan ketidakseimbangan yang berterusan dan keperluan untuk pembangunan yang bersasar.

“Ini bukan soal salahkan sesiapa, tapi apa yang boleh kita buat untuk selesaikan (masalah). Saya mahu bantu masyarakat KDMR, sebab itu semasa saya dalam kerajaan, saya beri geran tanah kepada mereka,” katanya.

Shafie berkata semasa pentadbirannya, 418 geran tanah dikeluarkan di Tambunan dan 2,800 geran di Keningau kepada penduduk asal, dan dia kesal kenyataannya telah diputar belit oleh seteru politik.

Menurut statistik rasmi, lapan daerah termiskin di Malaysia terletak di Sabah, dengan lima daripadanya adalah kawasan majoriti KDMR, iaitu Tongod, Pitas, Tuaran, Ranau dan Kota Marudu.

[Baca berita asal]



Source link