Pelaksanaan Subsidi Bersasar Petrol RON95 Ditunda Buat Masa Ini – Fahmi Fadzil
July 21, 2025
•
Nazrin
Seperti yang diketahui sejak tahun lepas, kerajaan dijangka akan memulakan proses pelaksanaan subsidi petrol RON95 bersasar, yang diharap dapat memastikan bahawa subsidi petrol ini akan dapat dimanfaatkan oleh mereka yang sepatutnya menerima subsidi ini.
Terkini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil telah mengumumkan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar tersebut akan ditunda buat masa ini untuk membolehkan pihak kerajaan untuk meneliti mekansimanya supaya rakyat Malaysia tidak terbeban dengan implementasi tersebut.
Perkara ini nampaknya diminta sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan bahawa beliau mahukan sebarang keputusan yang dilaksanakan berkenaan subsidi bersasar ini haruslah membantu rakyat, dan bukan membebankan mereka.

Fahmi Fadzil mengatakan lagi bahawa beberapa perubahan telahpun dilakukan kepada proses subsidi bersasar tersebut, dan ia sedang diperhalusi lagi untuk memastikan bahawa program tersebut lebih mudah difahami.
Beliau memberi contoh rasionalisasi harga subsidi diesel sebagai salah satu sebab mengapa subsidi bersasar RON95 perlu diperhalusi sebelum ia diperkenalkan. Tidak banyak contoh tentang apa butiran subsidi tersebut yang perlu dikaji semula, tetapi laporan The Star mengatakan salah satu daripadanya adalah mekanisma pemberian subsidi tersebut, yang mungkin berkait dengan program PADU yang diterajui mantan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Ia sepatutnya digunakan untuk membantu menentukan siapakah yang layak menerima subsidi bersasar tersebut. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah pelaksanaan subsidi tersebut akan berlaku.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.