Polis dijangka merujuk kes seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang disiasat berhubung ucapan disyaki mempunyai unsur hasutan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ketua Polis Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata kertas siasatan berhubung kes itu akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya selewat-lewatnya minggu depan.
Dia juga memaklumkan pelajar UMS itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya dan tindakan lanjut diambil semalam.
“Rakaman percakapan semua saksi yang berkaitan juga sudah diambil untuk melengkapkan siasatan,” katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.
Semalam, Jasmin berkata, tiga laporan polis dibuat berhubung seorang individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman, semasa Himpunan Solidariti Justice for Zara yang diadakan di padang Majlis Perbandaran Tawau.
Program untuk menyatakan sokongan kepada Zara Qairina Mahathir itu diadakan pada 31 Ogos lalu.
Sekumpulan pelajar UMS kemudian mendakwa rakan mereka ditahan pihak berkuasa dan menegaskan bahawa perhimpunan menyatakan sokongan bukanlah suatu jenayah.
Satu lagi kumpulan pelajar, Federasi Pemuda Kebangsaan, turut mengecam tindakan polis dan menggesa Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, untuk meletak jawatan.
Polis didakwa menahan pelajar berkenaan – yang hanya dikenali sebagai Aliefah, 23.
Polis berkata siasatan awal mendapati pelajar prasiswazah tersebut adalah antara individu yang diberi peluang untuk berucap pada perhimpunan berkenaan.
Kes yang melibatkan pelajar UMS itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu kesalahan berkaitan mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian).
Siasatan itu juga melibatkan peruntukan di bawah Kanun Keseksaan, khususnya Seksyen 506 mengenai ugutan jenayah dan Seksyen 505(b) mengenai menimbulkan ketakutan atau kegentaran orang awam.