MACHANG: Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang di sini yang maut selepas dirempuh sebuah motosikal di dalam kampus di sini semalam dipercayai memakai fon putik atau ‘earbuds’ di telinga di semasa melintas jalan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa yang berusia 19 tahun dan merupakan pelajar semester ketiga Fakulti Pengurusan dan Perniagaan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa turut dipercayai melintas secara melulu semasa kejadian.
Katanya, hal ini kerana ada saksi yang melihat mangsa berjalan secara melulu dan siasatan lanjut mengenai punca sebenar kejadian itu masih lagi dijalankan.
“Mangsa yang merupakan pelajar tiga Fakulti Pengurusan dan Perniagaan berusia 19 tahun itu didakwa leka semasa melintas kerana ada fon putik di telinga,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Ahmad Shafiki memberitahu, siasatan awal mendapati, sebuah motosikal jenis Honda RS-X 150 ditunggang seorang lelaki yang merupakan pelajar Fakulti Perakaunan sedang dalam perjalanan dari arah pintu utama UiTM Cawangan Machang untuk pulang ke asrama.
Katanya, semasa motosikal tersebut sedang mendaki bukit, mangsa yang berasal dari Marang, Terengganu dipercayai melintas jalan secara mengejut.
“Keadaan itu menyebabkan penunggang motosikal yang berusia 20 tahun dan berasal dari Shah Alam, Selangor itu mengelak ke kiri, namun tetap merempuh mangsa.
“Pelajar perempuan itu terjatuh di atas pembahagi jalan dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” ujarnya
Ahmad Shafiki berkata, mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Machang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN





