Seorang pelajar tingkatan satu yang dirakam dalam video menumbuk gurunya telah mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan guru tersebut di Mahkamah Majistret Kajang hari ini.
Media tempatan melaporkan prosiding berlangsung secara tertutup di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil kerana tertuduh masih di bawah umur.
Pelajar berusia 14 tahun dari kelas peralihan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan – satu kesalahan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 11 September sebagai tarikh hukuman, sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Remaja tersebut didakwa dengan sengaja mencederakan seorang guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah sekitar jam 4.48 petang pada 28 Julai lalu. Rakaman video pergaduhan itu tular di media sosial dan mendapat perhatian meluas daripada orang ramai.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof sebelum ini mengesahkan pelajar berkenaan ditahan pada hari kejadian, susulan laporan polis yang dibuat oleh guru berkenaan.
Remaja itu kemudian direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
Naazron menjelaskan kejadian berlaku selepas guru tersebut menegur pelajar terbabit kerana tidak hadir ke kelas Pendidikan Jasmani.
“Susulan teguran itu, berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa sebelum pelajar terbabit bertindak menumbuk muka guru berkenaan serta mengeluarkan ugutan,” katanya.