Presiden Persatuan Perlindungan Warisan Semula Jadi Malaysia (Peka) menuntut ketelusan sepenuhnya berhubung projek perlombongan arang batu di Sabah, susulan pembongkaran skandal mengaitkan bekas setiausaha politik perdana menteri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Peka membangkitkan dakwaan 70,000 hektar hutan simpan di Kalabakan dan Gunung Rara telah diuntukkan bagi projek tersebut, dan menyifatkannya sebagai satu bentuk “pembunuhan ekologi.”
Sebelum ini, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) memaklumkan pihaknya telah memberi “kebenaran bersyarat” kepada Bumi Suria Sdn Bhd untuk memohon lesen mencari gali, namun dibatal kemudiannya selepas syarikat tersebut gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.
Peka menegaskan pendiriannya yang tegas menolak sebarang bentuk pembangunan perlombongan arang batu di zon biodiversiti penting di Sabah, sama ada bersifat sementara, telah dibatalkan atau sebaliknya.
“Tiada jalan pintas, tiada ‘kebenaran bersyarat’, tiada helah belakang tabir. SMM mesti mengamalkan ketelusan penuh dan menyediakan salinan laporan penuh Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kepada semua pihak berkepentingan,” kata Presiden Peka, Rajesh Nagaran, dan Setiausaha Agung, Vimala Raghawan dalam kenyataan.
Menurut Peka, daerah Kalabakan memiliki kira-kira 53,200 penduduk (berdasarkan banci 2023) yang tinggal di kampung-kampung sepanjang pinggir hutan dan lembah sungai dan berdepan risiko terdedah kepada laluan air yang tercemar dengan debu, aliran air berasid dan bahan pencemar toksik daripada perlombongan arang batu.

“Cadangan perlombongan arang batu pada skala yang belum pernah dilihat sebelum ini akan menyebabkan pembersihan tanah besar-besaran dan eksploitasi kawasan yang pasti akan merosakkan keseluruhan ekosistem Sabah.
“Perlombongan arang batu secara terbuka ini akan menyebabkan kemusnahan tanah yang tidak boleh dipulihkan, penebangan hutan secara meluas, pencemaran udara dan air, serta bencana geologi serius seperti tanah runtuh, mendapan tanah, dan lubang benam, semuanya berisiko mengancam nyawa masyarakat sekitarnya,” kata mereka.
Peka turut menegaskan yang nitrus oksida, iaitu salah satu gas yang dilepaskan ketika pembakaran arang batu, adalah pencemar iklim yang sangat bahaya, dengan Potensi Pemanasan Global (GWP) kira-kira 270–300 kali ganda lebih tinggi daripada karbon dioksida dalam tempoh 100 tahun, dan kekal di atmosfera lebih dari satu abad.
“Bagaimana dengan habitat gajah kerdil Borneo yang menjadikan Kalabakan sebagai rumah mereka – 173,000 ekar kawasan habitat gajah akan bertukar menjadi tanah tercemar dan tandus, dan ini pasti menjadi titik akhir kepada kewujudan gajah ini.
“Dengan hanya 387 ekor gajah kerdil Borneo lagi yang tinggal di Sabah tengah, pembersihan 173,000 ekar di Kalabakan dan Gunung Rara bukan sekadar penebangan hutan, ia adalah jaminan bahawa haiwan ini akan pupus,” kata Peka.
Kata Peka lagi, pertimbangan untuk kemusnahan sebesar itu adalah satu penghinaan moral dan pengkhianatan amanah rakyat yang tidak boleh diterima di bawah mana-mana kerajaan yang beretika, apatah lagi kerajaan yang menggunakan nama ‘Madani’.
Peka turut memetik laporan Reuters Mei lalu yang memetik Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani yang mengecam label “risiko standard” yang ditetapkan Kesatuan Eropah (EU) di bawah peraturan Anti-Penebangan Hutan yang baru, sebagai tidak adil dan lapuk.
“Bagaimana Malaysia boleh mendakwa ia tidak adil sedangkan cadangan perlombongan arang batu di kawasan ekologi kritikal seperti Kalabakan dan Gunung Rara masih dalam pertimbangan?
“Johari mesti buktikan kesungguhan, memestikan Sabah dipertanggungjawabkan dan tuntut pendedahan penuh. Percanggahan seperti ini mencemarkan kredibiliti ESG Malaysia, menakutkan pelabur dan mendedahkan kita kepada risiko pengasingan daripada perdagangan lestari global,” tambah Peka.

Pertubuhan itu turut mengemukakan beberapa tuntutan, termasuk ketelusan penuh daripada kerajaan Sabah mengenai semua projek berkaitan hutan, sama ada secara bersyarat, sementara atau yang dicadangkan, termasuk rundingan perlombongan arang batu yang lalu dan akan datang di kawasan hutan Kalabakan dan Gunung Rara.
Antara tuntutan utama yang lain:
Pendedahan serta-merta semua minit mesyuarat lembaga, surat-menyurat dan perjanjian berkaitan dengan Bumi Suria Sdn Bhd dan mana-mana syarikat lain yang diberikan kebenaran bersyarat atau sebarang bentuk kebenaran.
Moratorium kekal terhadap sebarang bentuk penerokaan bahan api fosil di kawasan rizab hutan hujan Sabah.
Pendedahan penuh dan semakan bebas terhadap semua kelulusan berkaitan hutan, bermula dengan Sabah, dan Johari perlu segera memulakan proses ini bagi memulihkan kredibiliti ESG Malaysia.
“Sabah bukan zon korban. Arang batu bukan pembangunan, ia adalah kemusnahan. Ia mencemarkan udara kita, meracuni air kita, mengusir masyarakat pribumi dan luar bandar, serta menjadikan dunia kehilangan spesies haiwan yang tidak wujud di tempat lain.
“Seluruh projek ini, sama ada berlesen atau tidak, adalah penghinaan terhadap kebijaksanaan kita secara kolektif, serangan terhadap bumi dan pengkhianatan alam sekitar terhadap rakyat,” tegas Peka lagi.