Malaysia Oversight

Peka tuduh UPM upah sykt bunuh anjing liar

By MkiniBM in October 3, 2025 – Reading time 2 minute
Peka tuduh UPM upah sykt bunuh anjing liar


Sebuah NGO alam sekitar menuduh Universiti Putra Malaysia (UPM) terlibat dalam pembunuhan anjing secara tidak sah, dengan mendakwa institusi pendidikan itu membayar sebuah syarikat pembersihan untuk membunuh haiwan tersebut.

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendakwa UPM telah melantik sebuah syarikat perkhidmatan berpengkalan di Sentul untuk “membunuh” anjing pada kadar bayaran RM400 seekor.

“Bukti mengesahkan sekurang-kurangnya 15 ekor anjing telah dibunuh oleh (syarikat berkenaan) melalui tembakan. Bukti bergambar juga mengesahkan tindakan ini,” kata presiden Peka, Rajesh Nagarajan pada satu kenyataan hari ini.

Ketika dihubungi, seorang pekerja syarikat yang dinamakan dalam invois bertarikh November 2024 – yang dikatakan dihantar kepada UPM bagi tujuan “menangkap dan melupuskan anjing liar” – enggan mengulas dan sebaliknya mengarahkan pertanyaan dikemukakan terus kepada UPM.

e30c2f9fbd72ddab077e6b20317a96cc

Walaupun invois itu tidak menyatakan cara anjing-anjing tersebut dilupuskan, dokumen berkenaan memaparkan beberapa cop yang kelihatan daripada pihak berkuasa UPM.

Semakan Malaysiakini terhadap syarikat itu juga mendapati hampir tiada kewujudan dalam talian, kecuali satu alamat dan nombor telefon pejabat.

Rajesh menegaskan tindakan pembunuhan tersebut jelas melanggar Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang melarang perbuatan menyebabkan kesakitan, penderitaan atau kematian haiwan tanpa keperluan.

Dia berkata pembunuhan itu juga bercanggah dengan Seksyen 30(1) akta sama, yang melarang pembunuhan anjing, kucing atau haiwan tertentu lain menggunakan senjata api, kecuali dengan kebenaran pihak berkuasa veterinar bagi keadaan darurat atau kawalan penyakit.

4997eea401784ba2bb9bbbf51bf49c28

“Penggunaan senjata api tanpa lesen yang sah juga berpotensi menjadi kesalahan di bawah Akta Senjata 1960 dan/atau Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya lagi.

Selain mendesak supaya semua pembunuhan haiwan oleh UPM dihentikan segera, Rajesh berkata Peka juga menuntut polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menjalankan siasatan terhadap UPM dan syarikat terbabit.

Tegasnya, Kementerian Pendidikan Tinggi turut perlu terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang tanpa lengah bagi memastikan semua pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

Malaysiakini sudah menghubungi UPM untuk mendapatkan maklum balas terhadap dakwaan ini dan masih menunggu jawapan.

[Baca berita asal]



Source link