Pejuang melihat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, seolah-olah menari mengikut rentak tarian Presiden AS, Donald Trump, yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ia bukan sesuatu yang patu dibanggakan.
Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir, bahkan mengingatkan bahawa Anwar sebelum ini mendakwa kehadiran Trump penting untuk negara memberi menegur pemimpin terbabit dalam isu kekejaman di Palestin.
“Orang macam ini sepatutnya Anwar tak payahlah bagi muka sangat.
“Dia yang bagitahu kita jemputan kepada Trump itu satu peluang untuk kita bagitahu kita tegas menegur, saya ingat lagi.
“Tapi kalau sampai menari-nari di lapangan terbang itu saya tak nampaklah (akan) bertegas dengan Trump,” katanya kepada Malaysiakini selepas menyampaikan ucapan protes anti-Trump di Dataran Merdeka, hari ini.
Terdahulu Trump dilihat menari mengikut irama kumpulan penari dan pemuzik yang menyambut ketibaannya di Kompleks Bunga Raya KLIA. Ia merupakan lawatan pertama Trump ke negara ini.
Anwar – yang ada bersama untuk menyambut Trump – juga kelihatan terhibur dengan gelagat Presiden AS itu, sambil turut serta menggerak-gerakkan badan mengikut tariannya.
Berpakaian sut biru dengan tali leher merah, Trump menyertai kumpulan penari itu selepas turun dari pesawat udara Air Force One.

Perkembangan itu hadir walaupun terdapat kritikan hebat terhadap ketibaan Trump untuk sidang kemuncak Asean di Kuala Lumpur, dengan ramai yang mengutuk penglibatan AS dalam pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza.
Beberapa pihak, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menggesa Anwar untuk membatalkan jemputan kepada Trump.
Satu perhimpunan telah diadakan pagi tadi di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur bagi membantah ketibaan Trump di negara ini.
Pada 21 Okt, Anwar berkata dia akan bercakap dengan Trump tentang situasi di Gaza, selain isu-isu penting yang lain.
Mukhriz turut menyifatkan bahawa Trump bukanlah orang yang boleh dibawa berkawan dengan sikapnya yang akan ‘menjual diri’.
“Kita diajar kalau nak berkawan pilih-pilihlah sikit, saya rasa orang macam Donald Trump ini bukan boleh dibawa berkawan.
“Sebab kita tahu dia jenis orang yang cakap tak serupa bikin, dia akan menjual dirinya lebih daripada apa yang sebenarnya dia buat.
“Contohnya kononnya dia buat pelan keamanan di Gaza tapi dah ratusan terbunuh sepanjang tempoh gencatan senjata itu,” tegasnya.






