Malaysia Oversight

Pejuang gesa kerajaan wujudkan Kertas Putih ‘Buli Musuh Negara’

By MkiniBM in August 12, 2025 – Reading time 3 minute
Pejuang gesa kerajaan wujudkan Kertas Putih 'Buli Musuh Negara'


Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa segera melaksanakan dasar negara yang jelas bagi menangani isu buli yang semakin membimbangkan.

Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid, berkata peristiwa sedih yang menimpa arwah Zara Qairina Mahathir perlu menjadi insiden yang terakhir.

“Rakyat harus mendesak untuk satu Kertas Putih ‘Buli Musuh Negara’ diadakan. perlu mendengar rintihan, nasihat, cadangan dan idea dari semua pemegang taruh dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan.

Rafique menegaskan sekolah harus menjadi tempat selamat dan cadangan holistik serta menyeluruh perlu dibentangkan dalam Kertas Putih berkenaan.

Dia turut mencadangkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah dan institusi pendidikan diberi tempoh tiga bulan untuk merangka pelan atau cadangan menangani isu buli.

“Mesyuarat PIBG dalam tiga bulan ini juga mestilah memperincikan kelemahan sudut prosedur laporan kes buli, kekurangan atau ketiadaan CCTV, kes-kes yang tidak diketengahkan atas pelbagai sebab, kekurangan guru-guru kaunseling, jumlah insiden-insiden buli/pemerasan/masalah pelajar di sekolah masing-masing.

“Data yang diperolehi ini mestilah dimasukkan ke dalam Kertas Putih tersebut,” jelasnya.

27ab986f24552334ccd61816b0a8c6fd

Rafique berkata mesyuarat di peringkat daerah, negeri dan pusat perlu diadakan untuk memperhalusi dasar berkenaan.

“Satu prosedur ‘one size fits all’ perlu disediakan yang akan digunapakai oleh setiap sekolah atau institusi tidak kira harian atau asrama penuh, kebangsaan atau jenis kebangsaan, tidak kira menengah atau rendah, agama atau biasa, kerajaan atau swasta.

“Tujuannya adalah supaya segala isu dapat ditangani dengan tuntas dan cepat. Setiap satu nyawa yang dapat diselamatkan adalah kemenangan pada rakyat,” katanya.

Menurutnya, PDRM, jabatan psikologi dan trauma Kementerian Kesihatan serta agensi penguatkuasaan lain perlu dibabitkan, selain mewujudkan prosedur operasi seragam untuk semua kes buli.

Diketuai tokoh guru, masyarakat

Bagaimanapun, kata Rafique, Kertas Putih tidak boleh diketuai oleh Menteri Pendidikan meskipun ia dikemudi oleh Kementerian berkenaan kerana portfolio dan logistiknya.

“Ia perlu diketuai oleh pakar-pakar serta guru-guru yang pernah dinobatkan Tokoh Guru atau tokoh-tokoh masyarakat yang lain dari pelbagai bidang profesional. Wakil ibu bapa mesti dilibatkan juga agar ia lebih berkesan,” katanya.

Rafique juga menekankan kepentingan memberi peluang kepada guru untuk menyuarakan cadangan, termasuk isu beban kerja yang menghalang perhatian terhadap kes buli.

“Isu ‘Buli Musuh Negara’ ini memerlukan kerjasama semua pihak. Setiap dari kita adalah ibu dan bapa atau akan menjadi ibu dan bapa, maka ia terkait dengan semua.

“Peredaran zaman serta kepantasan penggunaan teknologi telah menjadikan situasi kehidupan anak-anak kita amat berbeza dari masa dahulu. Namun, anak-anak kita semua adalah masa depan negara,” katanya.

Kematian Zara Qairina, 13, menarik perhatian ramai selepas pelajar itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada jam 4 pagi, 16 Julai.

Pihak keluarga mengesyaki Zara menjadi mangsa buli di sekolahnya. Semalam, kuburnya digali semula untuk membolehkan proses bedah siasat dilakukan dan siasatan menyeluruh dilakukan.

b2e51caed2b3489e4b103be70190665f

Selain kes Zara, satu lagi kes kematian yang disyaki berpunca daripada kes buli turut dilaporkan membabitkan seorang pelajar universiti di Johor.

Syamsul Haris Shamsudin, 22 tahun, meninggal dunia ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ibunya, yang dimaklumkan mengenai kematian tersebut pada 28 Julai, mengesyaki anaknya telah dibunuh, dan menuntut siasatan penuh dijalankan.

November tahun lalu, seorang pelatih Palapes dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, , juga dilapor meninggal dunia ketika latihan dan bapanya telah membuat laporan polis.



Source link