Pejuang mempersoalkan masa dan logik di sebalik arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada agensi penguat kuasa undang-undang yang meminta mereka mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mencetuskan kebencian di negara ini.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali, mendakwa arahan itu adalah percubaan perdana menteri selaku ketua eksekutif negara menyekat kebangkitan rakyat terhadap ketidakcekapan kerajaan
“Saya percaya perdana menteri dalam ketakutan. Maka, dia cuba takutkan rakyat.
“Perdana menteri ketakutan kerana rakyat bangkit dan mula persoal kelemahan kerajaan dan Anwar sendiri.
“Kita sedang saksikan “after effect” Himpunan Turun Anwar. Rakyat mula ke hadapan untuk suarakan rasa tidak puas hati.
“Buatlah banyak mana pun ucapan, rakyat sudah berani,” katanya.
Semalam, Anwar mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menghasut kebencian di negara ini.
Dalam ucapannya pada perhimpunan penjawat awam di Putrajaya, Anwar merujuk insiden-insiden terkini yang berkaitan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, di Sabah serta isu kesilapan memaparkan Jalur Gemilang.
Rakyat bergerak, bertanya
Dia berkata isu-isu tersebut telah dijadikan agenda oleh pihak tertentu untuk membangkitkan sentimen politik dengan merendah-rendahkan dan menghukum pihak lain tanpa berasaskan kebenaran dan fakta.
Mengulas ucapan perdana menteri, Rafique juga mempersoalkan alasan di sebalik keputusan itu.
Dia mendakwa, dalam kes Zara Qairina, rakyat bersuara selepas mereka merasakan dakwaan layanan dua darjat dalam cara pihak berkuasa mengendalikan siasatan ke atas kematiannya.
“Gelombang itu bermula di Sabah. Isu Zara Qairina membangkitkan solidariti semua kerana semua adalah ibu dan ayah ada anak-anak. Tambahan pula seolah layanan dua darjat.
“Tiada bedah siasat. Cuba disapu bawah karpet. Cuba disenyapkan.
“Rakyat hidu, rakyat bertanya, rakyat bergerak dan rakyat bersuara. Setiap yang ada di tempat kuasa dipersoal.
“Apa salah rakyat dalam isu Zara Qairina? “katanya.
Dalam isu kesilapan pemasangan bendera baru-baru ini, Rafique berkata, rakyat hanya mengutuk mereka yang tidak menghormati Jalur Gemilang dan tidak berpuas hati kerana berasakan tiada tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Apa salah rakyat dalam isu Jalur Gemilang?” katanya.