Malaysia Oversight

Peguam tuntut inkues kematian Zara, jenazah digali untuk bedah siasat

By MkiniBM in August 5, 2025 – Reading time 3 minute
Peguam tuntut inkues kematian Zara, jenazah digali untuk bedah siasat


Peguam yang mewakili ibu Zara Qairina Mahathir menggariskan empat tuntutan kepada pihak berkuasa yang menyiasat kematian remaja berusia 13 tahun itu, sambil menyifatkan siasatan polis memiliki “kelemahan dan kecacatan serius”.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri juga menuntut jenazah Zara digali semula bagi mengenal pasti punca kematiannya, serta satu inquest dibuat bagi mengenal pasti jika ada unsur jenayah dalam kematiannya.

Mereka menyifatkan siasata polis terhadap kematian Zara sebagai “fokus yang terhad dan skop yang sempit”.

“Tiada bedah siasat dibuat pada jenazah Zara. Polis juga tidak mengambil pakaian dan barangan peribadi yang dipakai Zara untuk siasatan, selepas dia ditemukan tidak bernyawa dekat asramanya pada 16 Julai.

“Kenyataan anak guam kami berhubung kesan lebam di belakang Zara hanya diambil pada tengah hari 3 Ogos dan tengah hari 4 Ogos di balai polis Sipitang.

“Kami merasakan polis tiada bahan bukti mencukupi untuk menyiasat perkara ini secara berkesan, memandangkan mereka tiada laporan bedah siasat, mahupun pakaian dan barangan peribadi Zara,” kata mereka.

“Selain itu, siasatan berdepan kekangan masa memadangkan laporan siasatan kes diserahkan pada 4 Ogos di ,” kata mereka lagi.

Kata mereka lagi, penyebaran naratif yang mendakwa kematian Zara berpunca daripada tekanan emosi daripada ibunya sendiri, Noridah Lamat, juga menandakan fail siasatan bocor.

Halaman kertas yang didakwa daripada diari Zara telah menjadi punca penyebaran naratif tersebut, sehingga ia dilabel sebagai bukti yang kononnya kukuh, kata mereka lagi.

“Jika kertas-kertas itu adalah sebahagian daripada barangan peribadi Zara yang diambil polis dari almarinya di asrama susulan kematiannya, ini bermakna ada orang yang membocorkan kandungan fail siasatan kepada orang ramai bagi membina naratif jahat dan persepsi negatif terhadap Zara dan ibunya.

“Oleh sebab itu, integriti siasatan telah terjejas,” kata mereka.

Surat kepada AGC

Mengambil kira kebimbangan tersebut, kata Hamid dan Shahlan lagi, sepucuk surat telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara (AGC)  pagi ini bagi menuntut:

“Kami berharap Peguam Negara akan menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan majistret melaksanakan inkues tersebut.

“Anak guam kami bukan mahukan kemenangan dalam siasatan. Dia hanya mahu keadilan untuk anaknya, Zara. Dia sentiasa sedia untuk membantu siasatan polis. Maka, hari ini kami akan menyerahkan semua pakaian dan barang Zara yang disebut di atas kepada polis. Polis telah menghubungi kami semalam untuk ini,” kata mereka.

Hamid dan Shahlan juga menyuarakan penghargaan kepada semua yang menyorot kes Zara demi menegakkan keadilan, termasuk menerusi himpunan aman oleh pelajar, petisyen oleh kumpulan pemancing, penciptaan lagu dan puisi, serta mereka yang mengongsikan hantaran dan berita berhubung kes itu di media sosial.

“Pada masa sama, tolong jangan buat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan fitnah kepada mana-mana pihak,” kata mereka lagi.

Semalam, AGC dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menyemak laporan siasatan awal menyeluruh daripada polis.

Menurut AGC, laporan itu diserahkan pada 3 dan 4 Ogos di pejabatnya di Sabah serta ibu pejabat di .

Pada Sabtu lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan polis telah melengkapkan siasatan kematian Zara, yang merupakan pelajar Tingkatan 1 SMK Agama Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah.

Dia berkata pihak berkuasa telah mengambil keterangan daripada 60 saksi.

Zara ditemukan cedera parah di kawasan asrama sekolahnya sekitar jam tiga pagi pada 16 Julai lalu.

Laporan awal menyatakan dia jatuh dari tingkat tiga asrama. Zara meninggal dunia sehari kemudian ketika dirawat di hospital.

Polis tidak menolak kemungkinan ada unsur buli dan telah merujuk kes itu ke Bukit Aman untuk analisis yang lebih menyeluruh.



Source link