SPRM menafikan dakwaan bahawa agensi itu cuba menakut-nakutkan peguam Albert Tei, Mahajoth Singh, dengan memanggilnya untuk disoal siasat hari ini.
Sebaliknya, SPRM mendakwa peguam itu dipanggil kerana dia berada dalam pemilikan eksibit, atau bahan bukti, yang berkaitan dengan siasatan terhadap anak guamnya.
SPRM turut menegaskan bahawa agensi tersebut mempunyai kuasa undang-undang untuk berbuat demikian.
“Notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009, yang memberi kuasa kepada SPRM untuk menghendaki mana-mana orang hadir serta mengemukakan dokumen atau rakaman yang diperlukan bagi membantu siasatan.

“Tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana pengamal undang-undang, dan dakwaan sebaliknya adalah tidak berasas dari sudut undang-undang.
“Memandangkan peguam yang mewakili suspek mempunyai bahan bukti (exhibits) yang berkaitan dengan siasatan, beliau mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengemukakannya apabila dikehendaki di bawah Seksyen 30(3) Akta SPRM 2009.
“Keingkaran berbuat demikian boleh dianggap sebagai menghalang penjawat awam menjalankan siasatan, iaitu satu kesalahan di sisi undang-undang,” kata kenyataan itu.
SPRM memberi maklum balas terhadap kenyataan kumpulan aktivis undang-undang Lawyers for Liberty (LFL) pagi tadi yang mengecam agensi itu kerana memanggil Mahajoth untuk disoal siasat.

Pengarah LFL, Zaid Malek menyifatkan notis tersebut sebagai tindakan “luar biasa dan tidak sah” oleh agensi itu yang “menimbulkan persoalan serius mengenai kewajaran siasatan dan penghormatan kepada kedaulatan undang-undang”.
SPRM berkata keistimewaan komunikasi peguam–anak guam “hanya melindungi nasihat undang-undang yang sulit.”
“Namun, ia tidak mengecualikan mengecualikan peguam daripada hadir di hadapan pegawai penyiasat; melindungi bahan atau dokumen yang tidak berkaitan dengan nasihat undang-undang; atau menghalang siasatan jika peguam tersebut merupakan saksi material.”
“Oleh itu, dakwaan intimidasi adalah tidak berasas. Notis tersebut merupakan proses statutori biasa dan sama sekali tidak menjejaskan kemampuan peguam untuk mewakili anak guamnya.

“Memanggil individu yang mempunyai maklumat relevan adalah prosedur siasatan standard,” kata SPRM.
Berhubung kritikan LFL mengenai agensi itu yang tidak membenarkan Mahajoth berjumpa dengan anak guamnya semalam, SPRM berkata sekatan sementara itu ditadbir oleh Kanun Tatacara Jenayah dan keperluan operasi untuk melindungi integriti siasatan.
Sekatan sedemikian adalah sah dan bukan sesuatu yang luar biasa dalam kes sensitif, tambahnya.
“Memutarbelitkan prosedur sah sebagai ‘tindakan tanpa undang-undang’ adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan orang awam,” tegas SPRM.






