Biasanya pekerja yang berdepan dengan proses peundanganlah yang menjadi emosional apabila kes mahkamah memihak kepada mereka. Tetapi kali ini bukan pekerja yang begitu.
Semasa menceritakan perjuangannya membantu 93 pekerja migran mendapatkan hak mereka, Sahain Nada Puthucheary, 28, bergelut untuk menahan air matanya daripada mengalir.
Dia bersama rakannya, Joachim Xavier, berjuang – dan menang – untuk menuntut gaji tertunggak para pekerja terbabit yang berjumlah lebih RM760,000. Para pekerja itu membuat tuntutan daripada bekas majikan mereka, Aecor Innovation Sdn Bhd (Aecor Innovation).
“Saya berasa gembira kerana mereka mendapat apa yang dijanjikan dan mereka tahu bahawa tak ada sesiapa yang boleh menipu mereka,” kata Sahain Nada kepada Malaysiakini semalam.
“Atau jika mereka ditipu, mereka ada hak untuk membetulkannya. Saya fikir itu yang paling penting – mereka tahu yang hak mereka dihormati.”
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengesahkan keputusan mahkamah buruh tahun lalu lepas bahawa Aecor Innovation berhutang gaji tertunggak kepada pekerja.
Para pekerja terbabit kemudian membawa kes berkenaan untuk dirayu di mahkamah tinggi.
Sepanjang tiga tahun, Sahain Nada berkata, cabaran paling sukar dihadapinya dalam kes itu ialah memahami realiti perjuangan pekerja untuk terus hidup, selain meneliti hampir 100 rekod individu untuk membuktikan hak mereka untuk dibayar.
Gambaran sebenar hari ini
Ia merupakan kes buruh pertama yang dikendalikan oleh sekutu kanan di firma Xavier and Koh Advocates and Solicitors itu.
“Memahami dari mana datangnya mereka adalah bahagian yang paling sukar bagi saya kerana saya tak pernah melihat cara kerja dalaman keadaan mereka – bagaimana mereka mendapatkan makanan, gas untuk memasak.
“Saya tak tahu apa-apa tentang ini, tetapi dengan kes ini saya banyak belajar,” katanya.
Kesedihan pekerja itu mula didedahkan dalam laporan berkaitan penipuan kuota oleh Malaysiakini pada Nov 2023.
Melalui laporan itu sindiket pengambilan pekerja migran melibatkan enam syarikat Malaysia didakwa membawa masuk ratusan warga asing menggunakan dokumen palsu dengan mengeksploitasi kelemahan dalam sistem kerajaan.
Secara kolektif, enam syarikat itu didakwa memohon lebih daripada 4,000 pekerja namun mendapat kelulusan kuota seramai 1,625 warga asing. Mereka mula dibawa masuk ke negara ini pada Jan 2023 namun mendapati tiada sebarang pekerjaan di sini.
Semalam, peguam berkata, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan untuk memihak kepada 93 pekerja terbabit beserta kos dan lebih RM750,000 jumlah tuntutan, termasuk RM120,000 untuk potongan haram bagi bil telefon, tempat tidur, peralatan dan kos pembersihan.
Mahkamah menetapkan mereka perlu diberikan upah – namun sebelum ini tidak dibayar – antara RM2,000 hingga RM11,000 kepada setiap seorang selepas hakim menolak hujah Aecor Innovation bahawa pembayaran gaji adalah bersyarat pada kerja sebenar yang dilakukan.

Susulan penghakiman itu, Sahain Nada berkata kepada dua pekerja migran yang mewakili kumpulan itu: “Anda bekerja RM1,500 selama sebulan, anda mendapat RM1,500 selama sebulan. Jika anda melakukan kerja lebih masa, anda mendapat kerja lebih masa. Itulah yang dikatakan oleh mahkamah ini.
“Tiada siapa yang boleh mengatakan anda perlu menunggu permit kerja anda atau anda perlu potong (gaji) kerana anda merosakkan katil.
“JTK (Jabatan Tenaga Kerja) betul dan anda semua juga betul kerana menuntut wang anda.
“Jadi anda semua melakukan sesuatu yang sangat-sangat berani. Anda semua berjuang untuk hak anda dan hari ini mahkamah memberitahu anda, anda betul kerana berjuang,” jelasnya.
Tak masuk akal
Para pekerja sejak itu memperoleh pekerjaan dengan syarikat perkapalan gergasi multinasional, Maersk.
Dalam keputusannya semalam, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Narkunavathy Sundareson, mengulangi keputusan mahkamah buruh (JTK) bahawa majikan tidak boleh melayan pekerja asing sebagai “kumpulan buruh simpanan” dan menegaskan bahawa ia “salah sama sekali”.
Sahain Nada berkata dia membacakan petikan yang sama semasa penghujahan kerana ia penting untuk memberikan gambaran tepat bagaimana pekerja migran dilayan hari ini.
“Mereka menggunakannya sebagai stok. Tidak masuk akal sama sekali untuk membawa masuk orang dan membiarkan mereka menunggu anda berpeluang untuk menjana wang.
“Tiada siapa yang datang dari negara lain hanya untuk berbuat demikian,” jelasnya.
Seorang pekerja yang hadir – tetapi enggan dikenali – berkata dia sangat gembira dengan keputusan mahkamah dan menyeru semua pekerja migran lain yang membuat tuntutan di JTK agar meneruskan usaha mereka.
“Insya-Allah, jika anda tidak melakukan kesilapan dalam proses (undang-undang) dan dengan perpaduan dan kepelbagaian kita, anda akan memenangi kes ini,” kata pekerja itu.






