Peguam kepada pemberi maklumat dalam dakwaan skandal rasuah di Sabah sekali lagi menggesa kerajaan agar memberikan perlindungan kepada anak guamnya di bawah Akta Pemberi Maklumat.
Gesaan itu dibuat susulan insiden penculikan terhadap Pamela Ling ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram.
Peguam Mahajoth Singh berkata, penculikan Ling membimbangkan dan menimbulkan persoalan bagaimana anak guamnya – yang hanya dikenali sebagai Albert – boleh merasa selamat sedangkan dia menyimpan bukti membabitkan individu berprofil tinggi (VVIP).
“Kita sering digesa oleh pihak kerajaan supaya berani, membongkar rasuah dan berpihak kepada keadilan, dengan jaminan bahawa sistem akan melindungi kita.
“Tapi bagaimana kita boleh mempercayai perlindungan itu wujud apabila mekanisme yang kononnya melindungi pemberi maklumat dibelenggu syarat ketat, kekurangan prosedur, dan tiada pemantauan bebas?
“Situasi Albert mencerminkan kegagalan perlindungan institusi ini. Pada masa sama, dia menyimpan bukti penting yang boleh membawa kesan besar, sekali gus meletakkan dirinya dalam keadaan semakin berisiko dan tidak selamat.
“Bukankah SPRM sepatutnya mengutamakan keselamatan pemberi maklumat seperti Albert, yang kerjasamanya merupakan satu bentuk khidmat kepada negara dan penting untuk kejayaan siasatan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dia berkata pihak SPRM, polis dan pihak berkuasa lain yang berkaitan perlu mengambil langkah menyeluruh bagi menjamin keselamatan Albert.
“Kegagalan berbuat demikian merupakan satu pengabaian jelas tanggungjawab negara untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan melindungi rakyatnya.
“Albert tetap komited untuk bekerjasama dalam siasatan yang sedang dijalankan, tetapi beliau tidak boleh – dan tidak patut – dipaksa berbuat demikian dengan menggadaikan nyawa, kebebasan dan keselamatannya,” tambahnya.

Pamela Ling, 42 tahun, dilaporkan diculik ketika menaikini Grab ketika hampir tiba di ibu pejabat SPRM pada 9 April, oleh individu yang dikatakan memakai seragam polis. Namun kejadian itu hanya diketahui umum pada 2 Mei lalu.
Polis sedang menyiasat dari pelbagai sudut, termasuk sama ada penculik adalah anggota polis sebenar atau penyamar, dan sama ada suami Ling, Thomas Hah, turut terlibat dalam kes itu.
Sebelum ini, Albert – seorang ahli perniagaan – pernah memohon perlindungan pemberi maklumat selepas mendedahkan perbualan tentang rasuah yang melibatkan beberapa ahli politik Sabah, berkaitan permohonan lesen cari gali mineral di negeri itu.
Namun permohonannya ditolak atas alasan dia turut terlibat dalam kesalahan yang didedahkan, menjadikannya tidak layak dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Tambahan pula, undang-undang menetapkan maklumat mesti disalurkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu, dan bukan kepada media. Menteri Undang-undang, Azalina Othman Said, menyatakan kerajaan tiada rancangan untuk meminda syarat ini.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah menolak dakwaan Albert sebagai satu usaha mencemarkan reputasi pentadbirannya. Albert juga dituduh terlibat dalam kartel yang cuba memonopoli aktiviti perlombongan di negeri itu.