Malaysia Oversight

Peguam MalaysiaNow kecam siasatan polis

By MkiniBM in August 12, 2025 – Reading time 2 minute
Peguam MalaysiaNow kecam siasatan polis


Peguam bagi MalaysiaNow mengecam siasatan polis terhadap portal berita itu selepas ia mendedahkan skandal lesen penerokaan mineral di Sabah mengaitkan bekas pegawai Perdana Menteri Ibrahim.

Tengah hari tadi, pengarang portal tersebut, Abdar Rahman Koya dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung artikel berkenaan. Peguam N Rajesh berkata sesi itu hanya berjalan selama 15 minit, iaitu dari jam 2.45 petang hingga 3 petang.

“Telefon tidak dirampas. Rahman tidak ditahan. Rahman juga tidak diminta hadir semula untuk siasatan lanjut. Soalan yang diajukan berkaitan skandal perlombongan di Sabah,” kata Rajesh kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

“Adalah tidak masuk akal bagi ini untuk memanggil wartawan dan menyoal mereka hanya kerana menjalankan tugas, iaitu menyiarkan laporan berita.

“Media adalah unsur amat penting bagi mana-mana demokrasi yang berfungsi, dan menteri dalam negeri mesti memastikan polis tidak melanggar kebebasan bersuara wartawan.

“Janganlah menteri dalam negeri yang berkuasa lupa bahawa kebebasan bersuara adalah hak perlembagaan dan sebarang campur tangan terhadap hak media tidak akan diterima,” kata Rajesh, merujuk kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

5ada4aa9241fdb39f469d6ed2d6f219d
Farhash Wafa Salvador

Ketika sesi soal siasat, Rajesh berkata Rahman turut diminta mendedahkan sumber yang bercakap kepada MalaysiaNow.

“Anak guam saya menggunakan hak untuk berdiam diri dan enggan menjawab soalan yang diajukan,” katanya.

Pendedahan diikuti penafian

Bulan lalu, MalaysiaNow mengaitkan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dengan skandal lesen penerokaan perlombongan. Portal itu menyiarkan rakaman audio yang didakwa menunjukkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menyatakan sokongan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash.

Lembaga Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) yang dipengerusikan Hajiji kemudian menafikan mana-mana syarikat yang dikaitkan dengan Farhash telah diberikan lesen penerokaan di negeri itu.

Farhash turut membuat penafian serta surat tuntutan agar MalaysiaNow berhubung artikel berkenaan dakwaan tersebut.

Awal bulan ini, MalaysiaNow mengesahkan bahawa ia menjadi subjek siasatan polis susulan aduan yang dibuat oleh SMM.

Warisan juga mengecam siasatan polis terhadap portal berita tersebut, dengan ahli majlis tertingginya, Mudi Dubing menyuarkan kekecewaan kerana pihak berkuasa menyasarkan media dan bukannya menyiasat dakwaan yang dibuat.



Source link