Peguam hak asasi manusia Eric Paulsen mendakwa Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mengelirukan Dewan Rakyat apabila menyebut Seksyen 20(1)(e) Perlembagaan Persekutuan bagi mewajarkan pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan dalam skuad bola sepak kebangsaan Harimau Malaya.
Paulsen menjelaskan peruntukan undang-undang yang dirujuk Saifuddin itu sebenarnya berkaitan cara pengiraan tempoh pemastautin bagi individu yang telah lama tinggal di Malaysia, ketika mereka memohon kewarganegaraan.
“Menteri Dalam Negeri telah mengelirukan Parlimen dengan mendakwa bahawa Seksyen 20(1)(e) Bahagian III, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan membolehkannya mengecualikan tujuh pemain asing daripada syarat tempoh pemastautin bagi permohonan kewarganegaraan melalui naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan.
“Seksyen ini tidak sepatutnya disalah tafsir atau digunakan di luar konteks untuk kes sekarang, kerana tujuh pemain asing tersebut tidak pernah menetap di Malaysia,” kata Paulsen — bekas wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) — kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Saifuddin pagi semalam memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia telah menggunakan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan untuk mempertimbangkan permohonan tujuh pemain warisan untuk diberikan kerakyatan Malaysia.
Saifuddin menjelaskan bahawa Perkara 20(1)(e) memperuntukkan kuasa budi bicara kepada Menteri Dalam Negeri dalam menilai permohonan kewarganegaraan warga asing, khususnya berkaitan syarat minimum tempoh pemastautin.

“Kuasa 20(1)(e) ini bermaksud, maksud pemastautin itu seperti dalam perlembagaan membenarkan keberadaan pemohon itu di luar pun bolehlah dianggap dia berada dalam negara,” katanya.
Dia menegaskan bahawa ketujuh-tujuh pemain tersebut telah memenuhi semua syarat undang-undang untuk diberikan kewarganegaraan melalui naturalisasi, termasuk kemahiran dalam Bahasa Malaysia.
Menurut Saifuddin, para pemain itu juga telah lulus ujian asas Bahasa Malaysia yang dijalankan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Tolak tafsiran Saifuddin
Paulsen menolak tafsiran Saifuddin terhadap peruntukan undang-undang itu.
“Kalau ikut logik menteri, dia boleh bawa masuk sejuta warga asing esok dan kecualikan mereka daripada semua syarat. Jelas ini tidak betul.
“Untuk makluman, menteri tidak mempunyai kuasa luar biasa untuk pengecualian sebegitu. Jika ada, ia pasti disebut secara jelas dalam Perlembagaan.
“Beliau sedang cuba memutarbelit bahasa Perlembagaan bagi menghalalkan naturalisasi tujuh pemain asing ini, yang jelas tidak memenuhi syarat awal di bawah Perkara 19,” kata Paulsen.
Tujuan sebenar peruntukan undang-undang
Pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL) itu, yang berpengalaman luas mengendalikan kes individu tanpa kerakyatan, menjelaskan dengan lebih terperinci:
“Seperti yang dapat dilihat dalam Perkara 20(1)(a) hingga (d), tujuan peruntukan ini adalah untuk membenarkan tempoh tertentu seseorang berada di luar negara — contohnya untuk tempoh kurang enam bulan, tujuan pendidikan, rawatan kesihatan, atau perkhidmatan kepada negara — dikira sebagai sebahagian daripada tempoh pemastautin di Malaysia.
“Perkara ini hanya boleh diguna jika, misalnya, seorang warga asing telah tinggal di Malaysia sejak umur 10 tahun dan merupakan pemain bola sepak berbakat, lalu pada umur 15 tahun dia pergi ke akademi bola sepak FC Barcelona, La Masia, di Sepanyol selama lima tahun.
“Apabila dia berumur 21 tahun dan memohon naturalisasi di bawah Perkara 19, dia boleh berhujah bahawa latihan lima tahun di luar negara itu dikira sebagai tempoh pemastautin di Malaysia di bawah Perkara 20(1). Maka secara keseluruhan, dia boleh menunjukkan tempoh pemastautin sekurang-kurangnya 10 tahun seperti yang disyaratkan oleh Perkara 19,” jelas Paulsen.

Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan menyentuh kewarganegaraan melalui naturalisasi, yang antara lain mensyaratkan:
Latar isu Fifa dan pemain “warisan”
Pada 26 Sept, Fifa mengenakan sekatan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain terbabit kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa berhubung pemalsuan dokumen.
Fifa mendapati FAM telah menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
Fifa turut memutuskan bahawa FAM perlu membayar denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) manakala setiap daripada tujuh pemain tersebut dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM10,500).
Para pemain berkenaan — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano — turut digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.
Dalam alasan penghakimannya, Fifa mendedahkan bahawa pihaknya telah memperoleh dokumen asal kelahiran datuk atau nenek pemain yang dikatakan “lahir di Malaysia” dan dokumen tersebut bercanggah dengan salinan yang didakwa telah diubah suai yang dihantar oleh pihak Malaysia.
Penemuan itu turut menimbulkan keraguan terhadap proses pengesahan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung dakwaan asal-usul para pemain tersebut.






