Pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad, mendakwa pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) cuba melakukan intimidasi sekali lagi terhadapnya dengan datang bersama kereta peronda polis ke rumahnya malam tadi.
Ia berlaku beberapa jam selepas Aliff hadir ke pejabat agensi itu untuk memberi keterangan berhubung satu hantaran media sosial yang dikaitkan dengan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Dalam satu hantaran di Facebook, Aliff berkata pegawai MCMC dan polis datang ke rumahnya untuk menyerahkan satu lagi notis, yang dikatakan berkaitan kes lain melibatkan hantaran di media sosial.
“Yang kelakarnya, aku baru ke sana tadi. Mereka juga ada nombor telefon aku. Tetapi sengaja datang pada waktu malam. Dan aku tiada di rumah ketika itu.
“Selepas notis serahan gagal dibuat, baru dia nak buat panggilan telefon kepada aku. Katanya nak panggil aku esok pagi pula. Katanya kes lain. Nanti aku kasitau kes apa pula.
“Beriya-beriya diorang nak guna seksyen 233 SKMM untuk mengenakan aku. Dahsyat betul kerajaan Madani. Hantaran lama aku dikorek untuk dicuba uji. Nak tengok lekat ke tak,” katanya lewat malam tadi.
Malaysiakini telah menghubungi pihak MCMC dan Kementerian Komunikasi untuk mendapatkan komen lanjut.
Siasatan berkenaan empat hantaran
Sementara itu dalam satu catatan berasingan hari ini, Aliff berkata dia menerima panggilan pagi tadi memaklumkan siasatan adalah berkaitan empat lagi hantaran berasingan.

“Pegawai MCMC yang bernama Khairul ini telah memberitahu aku hantaran yang mana. Tapi, pagi tadi dia buat panggilan kata ada empat hantaran lagi. Aku kasi tahu dia, nanti bagi semua semua pautan dalam Whatsapp.
“Biasanya IO (pegawai penyiasat) akan menghubungi kita. Tapi dia kata dia bukan IO. Tak apalah. Aku nak sediakan SD untuk memudahkan kerja mereka untuk mendakwa.
“Mula-mula macam setuju (nak bagi keterangan). Tapi, selepas dia balas macam ni, aku dapat rasa mereka ada perancangan lain. Nak aku datang tanpa kehadiran peguam-peguam aku. Kenapa ya?” soalnya.
Namun Aliff berkata disebabkan hari ini dia dan peguamnya tiada kelapangan, dia memberitahu hanya akan memberi keterangan kepada MCMC pada Isnin ini, jam 11 pagi.
“Sepatutnya mereka boleh tenang-tenang berehat hujung minggu ini. Kan?” katanya.
Terdahulu, dilaporkan bahawa Aliff hadir ke pejabat MCMC semalam, di mana dia disoal siasat berkenaan tawarannya untuk menjalankan semakan latar belakang terhadap Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR dan anak kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Aliff terkenal di Facebook menerusi perkhidmatan menjalankan semakan latar belakang individu menggunakan sistem yang dikenali sebagai “Scrut Analytica”.
Dalam kenyataan lanjut, Aliff sekali lagi mencabar pihak berkuasa untuk mendakwanya di mahkamah.
“Serangan ini tidak akan melemahkan semangat aku. Bahkan aku semakin bersemangat untuk melihat bagaimana mereka hendak terus menerus memeras kuasa menindas marhaen.
“Aku harap kes yang ini pun didakwalah. Mungkin ramai yang nak tahu kebenarannya,” ujarnya.