KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah atas kejayaan cemerlang menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Artik 2025 hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata kemenangan itu adalah gelaran kedua diraih pasangan berkenaan dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia musim ini.
Beliau menyatakan Pearly-Thinaah bukan sahaja kebanggaan negara malah sumber inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia.
Ahmad Zahid berkata kejayaan itu juga membuktikan semangat juang, disiplin tinggi dan keazaman tanpa mengenal erti putus asa mampu mengangkat nama Malaysia di pentas dunia.
Beliau mengajak rakyat Malaysia terus berdiri teguh di belakang wira dan wirawati sukan tanah air dengan memberikan doa dan sokongan padu.
Pearly-Thinaah dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan beregu Jepun Rin Iwanaga-Kei Nakanishi 21-7, 21-9 pada aksi final kejohanan itu. – Bernama






