Keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan aspek pengurusan keselamatan melibatkan acara antarabangsa berprofil tinggi diiktiraf setanding dengan agensi keselamatan global seperti pasukan keselamatan Amerika Syarikat (AS).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata hal itu jelas terbukti semasa penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini apabila PDRM mempamerkan tahap kecekapan dan profesionalisme yang tinggi dalam mengendalikan kehadiran pemimpin berisiko tinggi antaranya Presiden AS Donald Trump.
“PDRM membuktikan kompetensi mereka adalah setanding dengan agensi keselamatan asing, dan dalam konteks menerima Presiden Trump, yang diklasifikasikan sebagai delegasi berisiko tinggi, kerjasama dengan pasukan keselamatan AS yang terlatih adalah sangat rapat dan berkesan.
“Mereka memberikan kepercayaan kepada kita… walaupun mereka mempunyai prosedur keselamatan sendiri, PDRM tetap mengambil alih tanggungjawab sebagai penentu muktamad aspek keselamatan,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabat beliau di Putrajaya.
Saifuddin Nasution berkata segala persiapan rapi bermula dengan penyediaan senarai semak terperinci dan perbincangan mendalam bersama pasukan keselamatan negara-negara terlibat termasuk Agensi Perkhidmatan Rahsia AS.

Beliau berkata hasilnya, segala strategi keselamatan PDRM termasuk cadangan laluan protokol, jadual penutupan jalan dan penggunaan aset lain diterima baik oleh pasukan keselamatan Presiden AS, menandakan pengiktirafan terhadap kepakaran PDRM.
Keupayaan PDRM itu turut dipuji oleh Trump sendiri yang menzahirkan rasa selamat dan tenang sepanjang keberadaan beliau di Malaysia.
“Presiden Trump secara peribadi menyebut tiga perkara antaranya adalah beliau berasa selamat dan tenang sepanjang berada di sini kerana keupayaan pasukan keselamatan Malaysia.
“Ini adalah satu pengiktirafan yang sangat bermakna dan harus dibanggakan oleh seluruh anggota PDRM,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata kejayaan penganjuran sidang kemuncak itu turut mengukuhkan reputasi Malaysia di mata dunia sebagai tuan rumah acara antarabangsa yang mampu menguruskan keselamatan pada skala dan magnitud tertinggi.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang melabuhkan tirai pada 29 Okt lepas, telah menghimpunkan pemimpin tertinggi 10 negara anggota serta rakan dialog termasuk AS, China, Jepun dan India sekali gus menekankan peranan blok serantau itu sebagai platform utama untuk dialog serta kerjasama dalam suasana dinamik global yang semakin berubah.
– Bernama






