Majlis Paralimpik Malaysia (PCM) masih mengharapkan penjelasan bertulis daripada pemenang pingat emas dua kali Paralimpik, Cheah Liek Hou, berhubung dakwaan dia “ditipu” berhubung ganjaran RM60,000.
Presiden MPC Megat D Shahriman Zaharudin dilaporkan berkata badan itu juga sedang mendapatkan penjelasan bertulis daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Kami akan berhubung terus dengan persatuan sukan yang berkaitan.
“MPC juga perlu mengumpul maklumat supaya ia menjadi pengajaran,” katanya seperti dipetik New Straits Times hari ini.
Kenyataan Megat itu dibuat walaupun Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh awal hari ini berkata, isu tersebut “dianggap selesai” selepas Cheah menerima ganjaran tambah nilai RM35,000 daripada rangkaian runcit 99 Speed Mart Sdn Bhd.
Dengan sumbangan tambahan itu, Cheah kini menerima RM60,000 yang dijanjikan oleh PCM. Sebelum ini dia menerima RM25,000 daripada badan berkenaan.
Semasa sidang media pada penyerahan dana hari ini, Cheah berkata, dia tidak menyesal bersuara mengenai kelewatan ganjaran wang tunai yang melibatkan PCM.
Sebelum ini Cheah dilaporkan mendakwa MPC menipu kerana gagal membayar insentif tunai RM60,000 yang dijanjikan kepadanya selepas memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik 2024.
Kenyataan Cheah dijawab Megat dengan berkata PCM sedang mempertimbangkan kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemain badminton negara itu.