
PC Android Menggunakan Snapdragon X dan X Elite Sedang Dibangunkan
Effi Saharudin
Cip paling berkuasa ditawarkan oleh Qualcomm ialah siri Snapdragon X yang pada ketika ini hanya boleh digunakan pada komputer riba dengan Windows. Komputer Windows berasaskan Arm ini dibangunkan bagi bersaing dengan MacBook yang juga menggunakan cip berasaskan senibina Arm. Terkini dokumen menunjukkan PC Android dengan cip Snapdragon X dan Snapdragon X Elite sedang dibangunkan.
PC Android ini akan menggunakan sistem operasi berasaskan Android 16 dengan ia dijana cip Purwa yang merupakan kod untuk siri Snapdragon X. Masih belum diketahui bilakah peranti ini akan dilancarkan tetapi yang pasti kewujudannya telah diacah oleh Qualcomm ketika acara Snapdragon Summit pada September lalu.
Ini mungkin PC berasaskan Android digabungkan dengan Chrome OS. Ini juga telah disahkan oleh Google pada Julai lalu. Ia dilihat sebagai jawapan Google kepada iPadOS 26 yang kini berfungsi lebih menyerupai macOS 26 dengan banyak ciri dipinjam.
Sebuah PC Android dengan cip Snapdragon X bolehlah dilihat sebagai pesaing kepada iPad Pro dengan cip M5 dan MacBook Air dengan cip Apple A19 Pro yang dipercayai akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






