Malaysia Oversight

Pastikan setiap negara ada bandar pintar

By Utusan in April 28, 2025 – Reading time 2 minute
Pastikan setiap negara ada bandar pintar


GEORGE TOWN : Malaysia kini bergerak aktif ke arah membentuk sebuah negara pintar dengan memastikan setiap negeri mempunyai inisiatif bandar pintar atau ‘smart city’ yang tersendiri.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, usaha membina negara pintar menuntut pelaksanaan teknologi canggih secara menyeluruh dan salah satu tonggaknya adalah pembangunan infrastruktur digital yang kukuh, selamat serta mampu menyokong kemajuan teknologi masa depan.

“Kita menuju ke arah digital secara keseluruhan dan salah satu daripada tonggak penting dalam membina negara pintar ini adalah memastikan setiap negeri mempunyai inisiatif ‘smart city’,” katanya selepas meninjau Pusat Operasi Pintar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), di Komtar hari ini.

Menurut Gobind, Kementerian Digital sentiasa berusaha memastikan infrastruktur negara mencukupi bagi keperluan teknologi semasa, serta mampu bersedia menghadapi kemunculan teknologi baharu yang semakin pesat.

Dalam pada itu, Gobind berkata, aspirasi Pulau Pinang untuk menjadi bandar AI semakin hampir menjadi realiti melalui penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI).

“Penerimaan teknologi AI ini akan membantu Pulau Pinang mempercepatkan usaha pemodenan infrastruktur dan perkhidmatan, meningkatkan produktiviti serta kecekapan. Ia akhirnya akan meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyelesaian yang lebih pintar,” katanya.

Menurut Gobind, selain Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Johor dan Sarawak turut membangunkan bandar pintar dan ia sedang dipantau oleh pihak kementerian.

“Memang ada negeri-negeri lain yang juga mewujudkan struktur yang sama misalnya Johor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. Kita adakan mesyuarat dengan Exco-exco di negeri yang terlibat setiap enam bulan untuk memberikan pandangan dan perkembangan berkaitan status di negeri-negeri berkenaan.

“Ia juga untuk melihat bagaimana kerjasama boleh dilaksanakan bagi memastikan bahawa kita boleh bergerak ke depan dalam masa yang sama,” katanya.

Selain itu, Gobind memberitahu, MBPP turut membangunkan ‘kembar digital’ yang membolehkan simulasi maya dinamik dibuat untuk membantu dalam perancangan bandar dan pengurusan kecemasan.

“Teknologi Generative AI juga digunakan untuk menganalisis set data yang kompleks, sekali gus memudahkan proses membuat keputusan yang lebih tepat dalam pelbagai sektor,” katanya. – UTUSAN





Source link