Malaysia Oversight

Pastikan kes Zara tak berakhir NFA macam Beng Hock

By MkiniBM in August 16, 2025 – Reading time 3 minute
Pastikan kes Zara tak berakhir NFA macam Beng Hock


Peguam keluarga mendiang Teoh Beng Hock mengingatkan agar kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, dari Sipitang, Sabah tidak berkesudahan seperti kes Teoh yang berlarutan sejak 16 tahun lalu hanya untuk berakhir dengan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).

Bercakap dalam satu perhimpunan solidariti buat Zara Qairina di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, semalam, Steve Chew menyorot bahawa NFA pada kes Teoh yang ditemui mati jatuh dari bangunan SPRM pada 2009 bererti kes itu telah ditutup.

“Laporan telah dikeluarkan yang menyatakan tiada tindakan lanjut. Dari segi istilah undang-undang, kes ini telah berakhir, kes ini telah ditutup.

“Adakah ini akan berlaku kepada adik Zara juga? Tidak, kami tidak mahu. Sebab itulah kami berkumpul di sini untuk menuntut keadilan,” katanya.

Steve mengingatkan bahawa Teoh pada waktu itu bukan suspek, sebaliknya hanya hadir sebagai saksi SPRM.

“Saksi saja. Saksi pun boleh mati,” katanya, sambil membangkitkan kegagalan pihak berkuasa melindungi individu dalam jagaan atau siasatan.

5e8854d779cbf5d4779510a958a733e4

Peguam itu menegaskan semua pihak harus memastikan siasatan kes Zara dijalankan secara telus dan adil, tanpa sebarang kelewatan atau percubaan untuk menutup kes.

“Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang,” tambahnya.

Kematian Setiausaha Politik kepada Exco Ean Yong Ean Wah pada tahun 2009 itu mencetuskan kemarahan umum, sebelum siasatan berlarutan bertahun-tahun dan akhirnya diklasifikasikan sebagai NFA.

Dirasai di seluruh negara

Sementara itu, Ketua Pemuda , Mohamed Sukri Omar yang turut hadir dalam himpunan solidariti buat Zara Qairina turut menegaskan bahawa rakyat tidak lagi akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penindasan, khususnya melibatkan kanak-kanak.

Dalam ucapan penuh emosi di hadapan ratusan peserta himpunan malam ini, Shukri berkata isu tersebut bukan hanya menyentuh hati rakyat Sabah, sebaliknya turut dirasai seluruh negara.

“Luka rakyat Sabah bukan hanya dirasai rakyat Sabah, tetapi seluruh negara.

“Kita tidak akan toleransi lagi sebarang tindakan buli,” tegasnya.

7c6b548c7c181be2f2b9d5f63ad0ed09

Sukri berkata kehadiran orang ramai menjadi bukti rakyat bangkit menentang apa yang digambarkan sebagai satu bentuk kezaliman terhadap remaja berusia 14 tahun itu.

“Kita tidak mahu melihat penindasan, salah guna kuasa. Hari ini kami mendesak PDRM dan SPRM siasat mengapa siasatan kes Zara begitu lambat,” katanya.

Sukri turut menegur agar tiada amalan “siasatan dua darjat” dalam kes tersebut dan mahu badan penguat kuasa bertindak secara adil tanpa mengira status individu.

“Perdana menteri kata ini negara hukum. Buktikan hukum bukan hanya pada VVIP tetapi kepada seluruh rakyat,” ujarnya.

Mengulas kebimbangan ibu bapa, Sukri berkata ramai yang hadir mempunyai anak sebaya Zara, dan menuntut jaminan keselamatan pelajar di sekolah.

2208004c5c079ee1829ffb77f2545a67

“Saya kira Kementerian Pendidikan wajib bertanggungjawab. Kita mahu suasana sekolah yang kondusif dan selamat untuk anak-anak kita,” katanya lagi.

Himpunan semalam adalah kesinambungan siri bantahan dan solidariti yang tercetus susulan kematian pelajar Zara Qairina.

Terdahulu ratusan rakyat di hadapan pusat beli belah Sogo, di Kuala Lumpur, tanpa mengira latar belakang tidak mahu ketinggalan dalam usaha menuntut keadilan untuk Zara Qairina yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di halaman bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.

Himpunan yang bermula seawal jam 8 malam itu dimulakan dengan bacaan surah Yassin dan tahlil buat Allahyarham Zara Qairina.

Bacaan Yassin diketuai Timbalan Pesuruhjaya Wilayah Persekutuan, Fauzi Abu Bakar.

13e3e2e1abe0690de6471067712f4eda

Peserta yang hadir turut mengenakan pakaian serba hitam sambil membawa plakad tertera nama Zara, “Justice for Zara Qairina” dan “Stop Bullying”.

Himpunan tersebut dianjurkan oleh gabungan NGO bersama pempengaruh serta tokoh rakyat dan berakhir pada 11.00 malam.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada jam empat pagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar memaklumkan siasatan kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kini menjurus kepada elemen jenayah termasuk kesalahan buli.

Jabatan Peguam Negara juga memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues selepas meneliti laporan siasatan PDRM.



Source link