IPOH: Pastikan kibaran bendera Malaysia tidak terbalik menjadi antara pesanan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan peringkat negeri Perak di sini malam ini.
Saarani berkata, menghormati Jalur Gemilang bukan soal bangsa, warna kulit, agama dan kabilah kepartian.
“Ia adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia yang memahami erti sebuah negara merdeka.
“Apabila kita kibarkan Jalur Gemilang, biarlah dengan tertib dan beradab. Jangan terbalik, jangan dibiarkan lusuh atau dibiarkan koyak. Kalau jatuh, angkat semula,” katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2025 malam ini di Bulatan Sultan Azlan Shah yang dihadiri lebih 3,000 pengunjung.
Isu pemasangan dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik mencetuskan kontroversi di beberapa lokasi dalam negara sehingga menyebabkan pertikaman lidah sesama ahli politik daripada parti kerajaan.
Saarani berkata, kerajaan negeri menyeru semua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan komuniti setempat untuk mengibar Jalur Gemilang di premis masing-masing termasuklah di kawasan tumpuan awam dan kediaman.
“Kalau salah cara pemasangan sama-sama kita betulkan. Kalau ada yang tidak faham, sama-sama kita beri pencerahan. Inilah tanda kita rakyat yang cakna, rakyat yang peduli,” katanya.
Mengenai Perak, beliau berkata, negeri ini memiliki sejarah tersendiri dalam membina kekuatan ekonomi negara.
“Penemuan bijih timah oleh Long Jaafar di Larut pada tahun 1848 bukan sahaja mengubah landskap ekonomi negeri, malah menjadikan Perak pintu masuk perdagangan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN